Skip to main content

Dunia

Meta, TikTok dikritik EU berhubung maklumat salah semasa krisis migran Ceuta

Anggaran Waktu Membaca:
Meta, TikTok dikritik EU berhubung maklumat salah semasa krisis migran Ceuta

Puluhan ribu orang menyeberang ke Ceuta dari Maghribi pada akhir bulan lalu, mencetuskan pertikaian politik berhubung perlindungan sempadan luar Kesatuan Eropah. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 08 Aug 2026 06:32PM
  • Henna Virkkunen, Ketua digital EU, mengkritik Meta dan TikTok kerana gagal menangani maklumat salah semasa krisis migran di Ceuta.
  • Media sosial didapati menyebarkan dakwaan palsu yang mendorong kemasukan besar-besaran migran dari Maghribi ke Ceuta pada akhir bulan lalu.
  • EU kini bercadang meningkatkan pemantauan dan membangunkan sistem amaran awal untuk menangani maklumat salah pada masa depan.
  • Virkkunen menegaskan perlunya tindakan tegas dan kerjasama lebih erat dengan pemeriksa fakta oleh platform digital semasa krisis.
Dijana oleh AI
BRUSSELS: Ketua digital Kesatuan Eropah (EU), Henna Virkkunen, mengkritik Meta dan TikTok berhubung cara kedua-dua platform itu menangani maklumat salah semasa krisis migran baru-baru ini di Ceuta, sebuah enklaf Sepanyol di Afrika Utara.

Beliau turut menggesa pemantauan terhadap platform media sosial dipertingkatkan semasa krisis.

Puluhan ribu orang menyeberang ke Ceuta dari Maghribi pada akhir bulan lalu, menyebabkan wilayah kecil itu menerima kemasukan migran dalam jumlah besar dan mencetuskan pertikaian politik berhubung perlindungan sempadan luar EU.

Media sosial memainkan peranan penting dalam pergerakan beramai-ramai tersebut.

Ramai migran berkata video dan mesej di platform seperti TikTok mendakwa sempadan yang biasanya dikawal ketat dibuka secara tiba-tiba.

Dakwaan bahawa penginapan akan disediakan di Ceuta dan migran boleh meneruskan perjalanan ke tanah besar Sepanyol turut tersebar dengan pantas.

EU MAHU TINGKAT PEMANTAUAN MEDIA SOSIAL

EU kini merancang untuk memantau platform media sosial popular dengan lebih ketat sebagai persediaan menghadapi situasi serupa pada masa depan.

Menyusuli mesyuarat tergempar negara-negara anggota EU minggu ini, para pegawai berkata sistem amaran awal boleh terus dibangunkan, termasuk menerusi pemantauan media sosial.

Langkah itu bertujuan menambah baik penilaian bersama EU terhadap perkembangan baharu yang mungkin timbul.

"Platform mesti bertindak tegas dalam menjaga integriti ruang digital, khususnya semasa situasi krisis," kata Cik Virkkunen menerusi platform X selepas bertemu wakil TikTok dan syarikat induk Facebook, Meta, pada Jumaat (7 Ogos).

"Pemantauan mesti ditingkatkan, kerjasama dengan pemeriksa fakta diperkukuh," tambah beliau.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita