Skip to main content

Dunia

Meta sasar selaras pengesahan umur pengguna di platformnya

Syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat, Meta, sedang melaksanakan sistem universal bagi mengesahkan umur pengguna platformnya sebagai maklum balas kepada pelaksanaan undang-undang berkaitan di peringkat global.
Anggaran Waktu Membaca:
Meta sasar selaras pengesahan umur pengguna di platformnya
Ketua Keselamatan Global Meta Antigone Davis. (Gambar fail: REUTERS)
MOSCOW: Syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat, Meta, sedang melaksanakan sistem universal bagi mengesahkan umur pengguna platformnya sebagai maklum balas kepada pelaksanaan undang-undang berkaitan di peringkat global.

Ketua Keselamatan Global Meta Antigone Davis berkata langkah itu diambil memandangkan pelbagai negara kini mempunyai sistem jaminan umur berbeza yang perlu dipatuhi oleh syarikat teknologi, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Pada masa ini, pasaran mempunyai banyak variasi yang berbeza, jadi apa yang kami cuba lakukan adalah mengambil pendekatan yang komprehensif," kata Cik Davis seperti yang dipetik oleh akhbar Financial Times.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi berpangkalan di Singapura, K-ID, bagi menyepadukan teknologi AgeKey ke dalam aplikasi mudah alihnya dan merancang untuk melancarkannya di kebanyakan negara pada 2026.

Teknologi AgeKey berfungsi hampir sama dengan teknologi passkey, yang menggunakan pengecaman wajah atau imbasan cap jari sedia ada pada telefon bijak sebagai alternatif untuk log masuk ke dalam aplikasi tanpa memerlukan kata laluan.

Passkeys kini disokong oleh semua sistem operasi komputer dan telefon bijak utama, serta pelayar laman sesawang.

Pada masa ini, Meta menggunakan gabungan teknologi pemeriksaan umur miliknya sendiri dan perkhidmatan pengesahan pihak ketiga, termasuk platform pengenalan Yoti dari United Kingdom (UK), bagi mematuhi Akta Keselamatan Online UK dan undang-undang yang melarang penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

"Jika digunakan secara meluas, AgeKey akan mewujudkan lebih banyak keseragaman supaya pengesahan umur akan kelihatan lebih serupa bagi setiap aplikasi yang berbeza," kata Cik Davis.

Pada 2021, Facebook mengumumkan penjenamaan semulanya kepada Meta dengan pengasasnya, Mark Zuckerberg, menyatakan bahawa jenama baharu itu memberi tumpuan kepada metaverse yang membolehkan orang ramai merasai pengalaman kehadiran dalam realiti maya.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita