Meta lancar khidmat langganan berbayar untuk Facebook, Instagram di AS

(Gambar: AFP)
WASHINGTON: Meta Platforms Inc pada Jumaat (17 Mac) mengumumkan ia melancarkan perkhidmatan langganannya di Amerika Syarikat, yang akan membolehkan pengguna Facebook dan Instagram bayar untuk pengesahan, serupa yang dilakukan Twitter yang dimiliki Elon Musk.
Khidmat Pengesahan Meta akan memberikan pengguna lencana biru selepas mereka mengesahkan akaun mereka menggunakan kad pengenalan. Mereka akan dikenakan bayaran AS$11.99 (S$16) setiap bulan pada laman webnya atau AS$14.99 (S$20) setiap bulan di sistem iOS Apple atau sistem Android yang dimiliki Google, menurut Meta dalam satu kenyataan yang dipetik Reuters.
Khidmat yang menurut Meta diuji pada Februari itu, mengikut jejak langkah Snapchat yang dimiliki Snap Inc serta aplikasi mengirim pesanan mesej Telegram.
Ia menandakan usaha terkini oleh syarikat media sosial untuk mempelbagaikan pendapatannya selain bergantung kepada pengiklanan.
Setelah dibeli pada AS$44 bilion (S$59 bilion) oleh Elon Musk tahun lalu, Twitter melancarkan khidmat langganan berbayar di mana pengguna boleh membuat bayaran untuk mendapatkan tanda semak biru, yang sebelum ini terhad kepada akaun-akaun sah milik para ahli politik, wartawan dan tokoh masyarakat lain.
Pelancaran 'Twitter Blue' pada November menyebabkan lonjakan pada jumlah pengguna yang menyamar sebagai selebriti dan jenama di wadah tersebut. Ini mendorong syarikat itu untuk menghentikan khidmat berkenaan dan memperkenalkan semula khidmat tersebut dengan tanda-tanda semak berbeza warna bagi individu, syarikat dan pemerintah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.