Meta kurangkan pilihan saham kakitangan meski ia catat paras dagangan tertinggi
Meta Platforms mengurangkan pengagihan pilihan saham tahunan sekitar 10 peratus bagi puluhan ribu pekerja.
Meta merancang untuk membelanjakan sehingga S$86.8 bilion tahun ini untuk mengembangkan infrastruktur kecerdasan buatannya. (Gambar hiasan: Pixabay/Artapixel)
Para pekerja menerima pemberian ekuiti setiap tahun yang membentuk sebahagian besar ganjaran mereka, disamping gaji asas dan bonus tahunan, lapor FT. Pemberian ini dikumpul dan "menjadi matang" setiap tiga bulan selama empat tahun.
Kebanyakan pekerja sudah dimaklumkan bahawa mereka akan menerima ekuiti sekitar 10 peratus lebih rendah tahun ini, lapor FT, memetik beberapa individu yang mengetahui hal tersebut.
Pengurangan sebenar akan bergantung kepada di mana pekerja itu berada dan tahap mereka dalam organisasi, menurut laporan itu.
Permintaan komen daripada Reuters tidak mendapat jawapan segera daripada Meta.
Saham gergasi media sosial itu mengalami peningkatan sejak 17 Januari, selepas Mahkamah Agung mengekalkan undang-undang melarang TikTok di Amerika Syarikat, biarpun Presiden Donald Trump menandatangani arahan eksekutif untuk menangguhkan pelaksanaannya.
Kenaikan ini juga dibantu kenyataan CEO Mark Zuckerberg pada Januari yang menyatakan bahawa Meta merancang untuk membelanjakan sehingga $65 bilion (S$86.8 bilion) tahun ini bagi mengembangkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) mereka.
Saham Meta ditutup 1.3 peratus lebih rendah, dengan jumlah $694.8 pada Khamis.
Pada Januari, ibu pejabat Facebook menyatakan bahawa ia akan mengurangkan sekitar 5 peratus daripada "pekerja yang paling rendah prestasinya" dan merancang untuk mengisi jawatan yang terjejas tahun ini.
Encik Zuckerberg juga memberi amaran kepada pekerja mengenai lebih banyak pemotongan pekerjaan sedemikian tahun ini untuk "meningkatkan standard" dalam pengurusan prestasi.
Meta mengatasi jangkaan Wall Street untuk pendapatan suku keempat pada akhir Januari, tetapi ia menyatakan bahawa jualan pada suku pertama yang sedang berlangsung mungkin tidak memenuhi anggaran, memberi isyarat bercampur tentang sejauh mana pelaburan mereka dalam alat AI yang mahal membuahkan hasil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.