Skip to main content

Dunia

Meta jalin kerjasama dengan makmal AI generatif Midjourney

Meta memeterai perjanjian dengan makmal kecerdasan buatan (AI) generatif Midjourney untuk memberi lesen kepada “teknologi estetik” syarikat pemula itu bagi model dan produk akan datang syarikat media sosial tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Meta jalin kerjasama dengan makmal AI generatif Midjourney

Logo Meta kelihatan dalam ilustrasi yang dihasilkan pada 22 Ogos 2022. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)

AMERIKA SYARIKAT: Meta memeterai perjanjian dengan makmal kecerdasan buatan (AI) generatif Midjourney untuk memberi lesen kepada “teknologi estetik” syarikat pemula itu bagi model dan produk akan datang syarikat media sosial tersebut.

Kerjasama teknikal itu akan menghubungkan pasukan penyelidikan kedua-dua syarikat, kata Ketua Pegawai AI Meta, Alexandr Wang, pada Jumaat (22 Ogos).

Langkah itu turut menandakan usaha Meta untuk membezakan produknya dari segi kualiti visual, sementara ia berusaha menggiatkan semula inisiatif kecerdasan buatannya di tengah-tengah persaingan sengit dalam kalangan pesaing termasuk pembuat ChatGPT, OpenAI, dan Google.

Midjourney, yang menjana imej berdasarkan arahan teks, melesenkan alatnya kepada para pengguna melalui model langganan.

“Kami amat kagum dengan Midjourney,” kata Encik Wang dalam satu catatan di X, sambil menambah bahawa untuk menghasilkan produk terbaik, Meta sedang menggabungkan bakat terbaik, pelan hala tuju pengkomputeran yang kukuh serta kerjasama dengan pemain industri terkemuka.

Meta dan Midjourney tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan komen daripada Reuters.

Kebolehan Midjourney menjana imej berpotensi membantu Meta memperhebat fungsi kreatifnya untuk para pengguna dan pemasar, sekali gus mengurangkan kos penghasilan kandungan dan meningkatkan pelibatan.

Perjanjian itu dimeterai sedang Meta menyusun semula usaha AI di bawah Superintelligence Labs, satu taruhan besar susulan peletakan jawatan kakitangan kanan serta sambutan dingin terhadap model sumber terbuka terkiniya, Llama 4.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita