Skip to main content

Dunia

Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN ditangguh susuli konflik Thailand-Kemboja

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadual berlangsung pada Selasa (16 Dis) ditangguhkan bagi memberi ruang kepada usaha penyelarasan berkaitan konflik antara Thailand dengan Kemboja.
Anggaran Waktu Membaca:
Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN ditangguh susuli konflik Thailand-Kemboja

China dan ASEAN masing-masing merupakan rakan dagang terbesar selama lima tahun berturut-turut. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 15 Dec 2025 04:46PM Dikemas Kini : 15 Dec 2025 08:40PM
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadual berlangsung pada Selasa (16 Dis) ditangguhkan bagi memberi ruang kepada usaha penyelarasan berkaitan konflik antara Thailand dengan Kemboja.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata ketika ini usaha diplomatik tetap diteruskan untuk meredakan ketegangan di rantau Asia Tenggara, khususnya membabitkan kedua-dua negara berkenaan.

Encik Anwar menegaskan, Malaysia akan memainkan peranan aktif dengan mengadakan komunikasi berterusan bersama semua pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian secara aman.

“Kami terus merayu supaya pertempuran dihentikan kerana situasi kini dilihat kritikal.

“Saya berhubung dengan mereka (kepimpinan Thailand dan Kemboja) secara maya hampir setiap hari,” kata Encik Anwar ketika ditemui pemberita selepas melancarkan penerbitan buku legasi aktivis sosial S.M. Mohamed Idris pada Isnin (15 Dis).

Mengulas kemungkinan Thailand bakal mengenakan sekatan eksport ekonomi ke Kemboja, Encik Anwar berkata perbincangan masih berlangsung bagi mengelakkan perkara sedemikian berlaku.

“Kami masih berunding untuk cuba kembali menyejukkan keadaan,” katanya.

Ketegangan melibatkan pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja meruncing sejak minggu lalu, dengan sekurang-kurangnya 16 tentera dan 10 orang awam Thailand terkorban, manakala lebih 258,000 penduduk terpaksa berpindah.

Selain itu, Kemboja pula melaporkan 11 kematian, 74 cedera dan hampir 395,000 penduduk dipindahkan.

Pada 12 Disember lalu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memaklumkan Thailand dan Kemboja bersetuju menghentikan pertempuran di sepanjang sempadan selepas perbincangan menerusi panggilan telefon diadakan dengan pemimpin kedua-dua negara.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita