Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mesyuarat ke-6 Jawatankuasa Bersama M'sia-SG tekan pentingnya pendigitalan pasca pandemik

Anggaran Waktu Membaca:
Mesyuarat ke-6 Jawatankuasa Bersama M'sia-SG tekan pentingnya pendigitalan pasca pandemik

(Gambar: Kementerian Komunikasi dan Digital/Facebook)

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) Malaysia dan Singapura mengenai Kerjasama Maklumat dan Komunikasi keenam yang berlangsung pada Jumaat (3 Feb) menekankan pentingnya pendigitalan ketika ekonomi kedua-dua negara beralih ke fasa endemik COVID-19.

Dianjurkan oleh Malaysia, JCM mengetengahkan hubungan mesra dan kerjasama padu antara kedua-dua negara dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) diperbaharui yang ditandatangani semasa lawatan pengenalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Singapura pada 30 Januari.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Mohammad Mentek dan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura, Joseph Leong, yang mempengerusikan bersama JCM, berkongsi pandangan bahawa peningkatan penggunaan teknologi digital semasa COVID-19 menunjukkan peluang untuk meningkatkan ekonomi digital dan menambah baik ketersambungan korporat dan individu.

"Oleh itu, keperluan untuk ruang online yang selamat dan terjamin semakin penting. Malaysia dan Singapura terus mengiktiraf JCM sebagai platform yang berguna untuk meningkatkan kerjasama dua hala, menangani cabaran utama dan paling penting mempercepat pemulihan ekonomi selepas COVID-19, " menurut kenyataan bersama kedua-dua kementerian.

Encik Mohammad berkata Malaysia komited untuk memacu ekonomi digital yang inklusif, progresif, saksama dan mampan untuk manfaat rakyat kerana yakin ekonomi digital merupakan asas penting untuk pemulihan ekonomi dalam tempoh sekarang.

"Perbincangan mengenai masa depan kerjasama dalam maklumat dan komunikasi digital serta bidang perlindungan data antara kedua-dua negara, sangat menarik dan produktif dan kami telah mengorak langkah besar ke arah mencapai visi dan objektif bersama," katanya.

Sementara itu, Encik Leong berkata Singapura menyambut baik kerjasama erat yang berterusan dengan Malaysia untuk meraih manfaat dan pada masa yang sama menangani cabaran ruang digital yang berkembang, termasuk melalui perbincangan kami di JCM dan MoU yang ditandatangani baru-baru ini mengenai perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital.

"Kami berkongsi minat yang sama untuk mewujudkan ruang online yang lebih selamat untuk warga kami, memudahkan ketersambungan rentas sempadan dan aliran data untuk perniagaan dan mengembangkan ekonomi digital," katanya.

JCM seterusnya akan dianjurkan oleh Singapura pada 2024 dan sempena JCM keenam, Malaysia juga akan menganjurkan Muzika Ekstravaganza ke-14, penerbitan tahunan bersama oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Mediacorp Singapura pada 4 Februari.

Acara tersebut akan dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan rakan sejawatannya dari Singapura, Josephine Teo.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan