Skip to main content

Dunia

Meskipun kurang upaya, budak 6 tahun dianggap 'hero cilik' gempa Lombok

Sewaktu gegaran pertama berukuran 5.8 pada skala Richter melanda kawasan Air Terjun Tiu Kelep di Senaru di pulau Lombok, Taufik berlari ke arah rombongan pelancong Malaysia yang berada di tepi air terjun itu, manakala Tomy meluru ke arah kumpulan yang sedang leka mandi-manda.

Anggaran Waktu Membaca:
Meskipun kurang upaya, budak 6 tahun dianggap 'hero cilik' gempa Lombok

Taufik, 6 tahun, dianggap 'hero cilik' gempa Lombok. (Gambar-Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 Mar 2019 08:02AM Dikemas Kini : 25 Mar 2019 08:11AM

LOMBOK: Sewaktu gegaran pertama berukuran 5.8 pada skala Richter melanda kawasan Air Terjun Tiu Kelep di Senaru di pulau Lombok, Taufik berlari ke arah rombongan pelancong Malaysia yang berada di tepi air terjun itu, manakala Tomy meluru ke arah kumpulan yang sedang leka mandi-manda.

"Saya bersama rakan-rakan terus mengikuti Taufik menuju ke arah jalan keluar manakala Tomy masih di kawasan air terjun sewaktu gegaran kedua berlaku selang beberapa saat selepas itu.

"Taufik sempat berpaling dan melihat batu besar menimpa Tomy dan dua rakan saya.

"Kalau tiada Taufik, saya bersama enam mangsa pasti akan mengalami kecederaan parah dan lebih tragis, pasti lebih ramai yang akan menimpa nasib sama dengan dua rakan kami yang maut.

"Taufik berada bersama kami sehinggalah penduduk kampung datang dan memapah kami ke atas," demikian cerita seorang daripada anggota rombongan pelancong Malaysia, Wong Siew Lim, tentang kejadian gempa itu pada Ahad (17 Mac).

Taufik hanya seorang kanak-kanak kurang berupaya, berusia 6 tahun, yang pekak dan bisu. Dia bersama abang saudaranya Tomi Al Bayani yang maut itu memberi khidmat sebagai jurupandu pelancong di daerah pelancongan tersebut.

Kanak-kanak lelaki itu yang tinggal bersama neneknya di Desa Senaru tidak pernah menerima pendidikan sempurna kerana dibelenggu kemiskinan.

Namun, dia disifatkan sebagai anak yang rajin dan pandai mencari mata pencarian sendiri.

Keberanian dan kecekalan yang ditunjukkan Taufik dalam membantu rakyat Malaysia dalam tragedi gempa itu menarik perhatian Global Peace Mission (GPM) Malaysia ketika misi #peduligempalombok baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi GPM Malaysia, Syahrir Azfar Saleh, berkata pihaknya menerusi GPM Malaysia (Indonesia) akan membantu Taufik untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran sebagai tanda penghargaan kerana membantu mangsa dalam kalangan rakyat Malaysia.

"GPM Malaysia bercadang menjadikan Taufik sebagai ikon 'hero cilik'.

"Keberanian yang ditonjolkan Taufik tidak berpadanan dengan usianya. Namun atas sifat prihatin dan tanggungjawab terhadap pelanggan, Taufik mengetepikan risiko diri sendiri dengan memastikan rakyat kita dapat lari dari kawasan bencana," katanya.

Sementara itu, Encik Wong yang menyertai rombongan 22 pelancong Malaysia itu menceritakan selanjutnya kejadian gempa itu kepada agensi berita Bernama.

Menurut Encik Wong, beliau dan rakan-rakannya mengenali Taufik dan Tomy ketika tiba di pintu masuk kawasan rekreasi Air Terjun Sendang Gila sebelum bertolak ke Air Terjun Tiu Kelep.

"Taufik dan Tomy mendekati rombongan kami dan menawarkan untuk mengangkat beg dan barangan perkelahan. Memandangkan Air Terjun Tiu Kelep lebih jauh dari Sendang Gila, kami bersetuju dan bercadang untuk memberi upah kepada mereka,"

"Sepanjang perjalanan hampir dua kilometer ke Tiu Kelep, mereka berdua turut memimpin tangan kami untuk menyeberangi sungai kecil memandangkan kesemua peserta rombongan sudah tua," ujarnya.

Dua anggota rombongan pelancong Malaysia yang maut dalam kejadian gempa di Tiu Kelep itu ialah Tai Siew Kim, Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, dan seorang lagi peserta yang dikenali sebagai Lim Sai Wah. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita