Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Meski tinggal sendirian di gua, lelaki ini dapatkan vaksin COVID-19; gesa orang lain ikut sama

"Virus (COVID-19) itu tidak memilih mangsa. Ia juga akan datang ke sini, ke gua saya," kata Panta Petrovic, 70 tahun, di dalam gua di gunung Stara Planina di selatan Serbia.

Anggaran Waktu Membaca:
Meski tinggal sendirian di gua, lelaki ini dapatkan vaksin COVID-19; gesa orang lain ikut sama

Panta Petrovic yang tinggal di gua pergunungan terpencil di Serbia (Gambar: OLIVER BUNIC / AFP)

Diterbitkan : 14 Aug 2021 10:17PM Dikemas Kini : 14 Aug 2021 10:23PM

PIROT: Hampir 20 tahun yang lalu, Panta Petrovic mula mengamalkan gaya hidup jarak sosial apabila beliau pindah ke sebuah gua kecil di gunung Serbia untuk menjauhkan diri daripada masyarakat.

Tahun lalu, semasa satu kunjungannya ke bandar, lelaki dengan rambut dan janggut panjang itu mendapati ada pandemik yang sedang menular. Setelah vaksin COVID-19 ditawarkan, beliau segera mendapatkan suntikan dan menggesa semua orang supaya turut berbuat demikian.

"Virus itu tidak memilih mangsa. Ia juga akan datang ke sini, ke gua saya," kata lelaki berusia 70 tahun itu kepada AFP di dalam gua di gunung Stara Planina di selatan Serbia.

Gua di mana Petrovic menetap hanya dapat diakses setelah pendakian curam yang mencabar.

Ia dilengkapi dengan tab mandi usang yang digunakannya sebagai tandas, beberapa bangku dan jerami yang berfungsi sebagai alas tidurnya.

Petrovic berasal dari bandar Pirot berdekatan di mana beliau pernah bekerja sebagai buruh di pasar gelap, seperti yang dilakukannya di luar negara selama beberapa waktu. Beliau pernah menikah beberapa kali, dalam kehidupan yang disifatkannya sebagai "sibuk".

Panta Petrovic yang tinggal di gua pergunungan terpencil di Serbia (Gambar: OLIVER BUNIC / AFP)

(Gambar: OLIVER BUNIC/AFP)

Seorang pencinta alam sejak dahulu lagi, beliau secara beransur-ansur mendapati bahawa memencilkan diri dari masyarakat memberinya rasa bebas yang tidak pernah dirasakan sebelumnya.

"Di sini, tiada sesiapa yang mengganggu saya," kata lelaki itu sambil tersengih, menampakkan giginya yang reput.

'WANG ITU MEROSAKKAN DIRI'

Petrovic secara amnya makan cendawan dan ikan dari mata air berhampiran, namun kadang kalanya ke bandar untuk mencari sisa makanan di dalam tong sampah.

Kunjungannya ke bandar pula makin kerap sejak kebelakangan ini.

Setelah beberapa haiwan yang dipeliharanya dekat dengan gua itu dibaham serigala baru-baru ini, Petrovic memutuskan untuk memindahkan haiwan-haiwan itu ke sebuah pondok yang dibinanya di pinggir bandar yang lebih selamat.

Haiwan-haiwan yang dipelihara termasuk beberapa ekor kambing, ayam dan sekitar 30 anjing dan kucing serta kegemarannya - seekor babi hutan bernama Mara.

Petrovic mendapat agihan kebajikan pemerintah, namun bergantung pada derma bagi makanan dan bekalan untuk haiwan-haiwannya.

Setelah vaksin COVID-19 ditawarkan, beliau tidak berlengah untuk mendapatkan suntikan.

Katanya, beliau "tidak faham kekecohan" yang diutarakan sebilangan pihak yang sangsi terhadap vaksin tersebut. Tegasnya, beliau yakin pada proses yang bertujuan untuk membasmi penyakit.

"Saya mahu dapatkan kesemua tiga dos, termasuk dos tambahan (rangsangan). Saya menggesa setiap warga untuk dapatkan vaksin, setiap satu daripada mereka."

Sebelum mengasingkan diri, Petrovic mendermakansemua wang yang diraih dari luar negara kepada masyarakat dengan membiayai pembinaan tiga jambatan kecil di bandar itu.

"Wang boleh merosakkan diri. Saya rasa tidak ada yang boleh menghancurkan manusia selain wang," kata Petrovic kepada AFP.

Sumber : AFP/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa