Skip to main content

Dunia

Meski maklumat risikan 'tidak muktamad', kerosakan akibat serangan ke atas Iran teruk: Trump

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu (25 Jun) berkata kerosakan ke atas tapak nuklear Iran akibat serangan peluru berpandu Amerika pada hujung minggu lalu adalah teruk, meskipun beliau mengakui bahawa maklumat risikan yang ada mengenai perkara itu tidak muktamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Meski maklumat risikan 'tidak muktamad', kerosakan akibat serangan ke atas Iran teruk: Trump

Perdana Menteri Britain Keir Starmer (kiri) dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghadiri mesyuarat pleno Majlis Atlantik Utara di sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di The Hague pada 25 Jun 2025. (Gambar: AFP/Ludovic Marin/Pool)

THE HAGUE: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu (25 Jun) berkata kerosakan ke atas tapak nuklear Iran akibat serangan peluru berpandu Amerika pada hujung minggu lalu adalah teruk, meskipun beliau mengakui bahawa maklumat risikan yang ada mengenai perkara itu tidak muktamad.

Kenyataan beliau itu menyusuli laporan Reuters dan media lain pada Selasa yang mendedahkan bahawa Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) Amerika Syarikat sudah menilai bahawa serangan itu hanya melambatkan program nuklear Iran selama beberapa bulan, meskipun para pegawai pentadbiran mengatakan program itu sudah 'dimusnahkan sepenuhnya'.

"Maklumat risikan... sangat tidak muktamad," kata Encik Trump kepada para wartawan semasa bertemu dengan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte menjelang sidang puncak di The Hague.

"Maklumat risikan menyatakan, 'Kami tidak tahu, ia mungkin sangat teruk.' Itulah yang dikatakan oleh maklumat risikan. Jadi saya rasa itu betul, tetapi saya rasa kita boleh mengambil kenyataan 'kami tidak tahu'. Ia sangat teruk. Ia adalah kemusnahan," tambah Encik Trump.

Kemudian, dalam komen yang sama, Encik Trump berhujah bahawa perjanjian nuklear Iran terbantut "pada dasarnya selama berdekad-dekad, kerana saya tidak rasa mereka akan melakukannya lagi".

Encik Trump, yang tiba di Belanda lewat Selasa bagi sidang puncak pemimpin tahunan NATO, duduk di samping Setiausaha Negara Marco Rubio dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, yang kedua-duanya turut meragui kewibawaan penilaian DIA.

Encik Rubio berkata Amerika Syarikat sedang membuka siasatan ke atas kebocoran laporan DIA. Beliau juga mencadangkan kandungan laporan itu sudah disalah tafsir dalam media.

Di sidang puncak itu, negara-negara anggota NATO dijangka mengumumkan niat bersama mereka untuk menaikkan perbelanjaan pertahanan kepada 5 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP).

Walaupun beberapa negara mencadangkan bahawa mereka mungkin tidak akan mencapainya, pentadbiran Encik Trump menyifatkan bahawa komitmen yang dijangka itu sebagai kemenangan dasar luar yang penting.

Encik Trump menunjukkan nada perdamaian terhadap sekutu NATO pada Rabu, dengan menyatakan perjanjian yang dijangka mengenai peningkatan perbelanjaan pertahanan sebagai "kemenangan besar untuk semua orang" di sidang puncak mereka.

"Ini adalah kemenangan besar untuk semua orang, saya rasa, dan kita akan mencapai kesamarataan tidak lama lagi, dan begitulah keadaannya seharusnya," kata Encik Trump, sedang sekutu Eropah berusaha untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka agar setanding dengan Amerika Syarikat.

"Saya sudah meminta mereka untuk naikkan sehingga 5 peratus selama beberapa tahun, dan mereka akan naikkan sehingga 5 peratus... Saya rasa itu akan menjadi berita yang sangat penting," katanya.
Sumber : Agensi berita/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita