Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mesir tuan rumah rundingan damai Israel, Palestin jelang Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Mesir tuan rumah rundingan damai Israel, Palestin jelang Ramadan

(Gambar: Ahmad Gharabli/AFP)

KAHERAH: Mesir menjadi tuan rumah kepada para pegawai dari Israel dan Palestin pada Ahad (19 Mac) di bandar peranginan Sharm el-Sheikh dalam satu usaha yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Jordan bagi meredakan keganasan di Tebing Barat menjelang ketibaan Ramadan.

Mesyuarat lima hala itu diadakan menyusuli sidang puncak yang diterajui AS di Jordan, yang pertama seumpamanya, di mana Israel dan Palestin berikrar untuk meredakan ketegangan tetapi dicabar oleh puak di kedua-dua pihak dan gagal menamatkan keganasan di Tebing Barat.

Mesyuarat di Sharm el-Sheikh “bertujuan untuk menyokong dialog antara pihak Palestin dan Israel untuk berusaha bagi menghentikan tindakan sepihak dan peningkatan keganasan, di samping mematahkan kitaran keganasan yang sedang berlaku dan mencapai kedamaian,” menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir.

Ia berpotensi “memudahkan pembentukan persekitaran yang sesuai untuk menyambung semula proses damai,” tambahnya.

Palestin merancang untuk mewujudkan sebuah negara bebas di Tebing Barat dan Carikan Gaza dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kotanya – wilayah yang ditawan Israel sejak peperangan pada 1967.

Namun, rundingan damai itu terhambat sejak 2014 dan warga Palestin berkata, peluasan petempatan Yahudi menyulitkan usaha mereka untuk menubuhkan sebuah negara berdaulat.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pertempuran berlaku antara polis Israel dan warga Palestin di sekitar Masjid Al-Aqsa pada kemuncak Ramadan, yang jatuh semasa Hari Paskah Yahudi dan sambutan Easter tahun ini.

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan