Skip to main content

Dunia

Mesir tolak saranan Israel untuk tadbir Gaza

Mesir pada Rabu (26 Feb) menolak sebarang cadangan untuk mengambil alih pentadbiran Carikan Gaza, berikutan gesaan ketua pembangkang Israel Yair Lapid agar Kaherah mentadbir wilayah Palestin itu buat sementara waktu, lapor Anadolu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Mesir tolak saranan Israel untuk tadbir Gaza

Encik Yair Lapid yang menggesa Mesir untuk mengambil alih pentadbiran Carikan Gaza. (Gambar: AFP/Andrew Harnik)

KAHERAH: Mesir pada Rabu (26 Feb) menolak sebarang cadangan untuk mengambil alih pentadbiran Carikan Gaza, berikutan gesaan ketua pembangkang Israel Yair Lapid agar Kaherah mentadbir wilayah Palestin itu buat sementara waktu, lapor Anadolu. 

Jurucakap Kementerian Luar Mesir menyifatkan cadangan tersebut sebagai langkah sementara yang hanya akan berlarutan tanpa menyelesaikan konflik secara muktamad. 

Dalam kenyataannya, jurucakap Tamim Khallaf berkata, "Sebarang cadangan yang menyimpang daripada pendirian tetap Mesir dan negara Arab, serta asas penyelesaian konflik yang sebenar — iaitu pengunduran Israel dari wilayah Palestin yang diduduki dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka — adalah tidak boleh diterima."  

Beliau menegaskan bahawa Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmakdis Timur, adalah sebahagian daripada wilayah Palestin yang sepatutnya berada di bawah kedaulatan penuh rakyat Palestin. 

Pada Selasa (25 Feb), Encik Lapid mencadangkan supaya Mesir mengambil alih pentadbiran Gaza selama 15 tahun sebagai pertukaran kepada pembatalan hutang luar negara Kaherah yang berjumlah lebih AS$150 bilion (S$201 bilion). 

Ketua pembangkang itu mengutarakan cadangan berkenaan semasa berucap di Foundation for Defense of Democracies (FDD) di Washington dan kemudian dimuat naik ke platform X.

Encik Lapid mendakwa bahawa dalam tempoh 15 tahun itu, "Gaza akan dibangunkan semula dan syarat untuk pemerintahan sendiri akan diwujudkan. Mesir akan menjadi pemain utama dan akan menyelia pembinaan semula Gaza, sekali gus mengukuhkan ekonominya." 

Sementara itu, Hamas menolak sebarang cadangan untuk melucutkan senjata atau dikeluarkan dari Gaza. Ia turut menegaskan bahawa masa depan wilayah itu mesti ditentukan melalui konsensus nasional rakyat Palestin. 

Israel terus menduduki wilayah Palestin, Syria dan Lubnan serta enggan berundur atau mengiktiraf negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negaranya berdasarkan garis sempadan sebelum 1967. 

Gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan dikuatkuasakan di Gaza sejak bulan lalu, menghentikan sementara perang yang meragut hampir 48,350 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan wilayah itu. 
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita