Skip to main content

Dunia

Mesir sediakan tempat di sempadan Gaza bagi pelarian Palestin

Anggaran Waktu Membaca:
RAFAH: Mesir sedang menyediakan sebuah tempat perlindungan di sempadan Gaza, yang boleh menampung warga Palestin sekiranya serangan Israel ke atas Rafah mencetuskan pengusiran di sempadan itu.

Demikian menurut empat sumber, yang menyifatkan langkah tersebut sebagai pelan kecemasan oleh Kaherah, lapor Arab News.

Mesir, yang menafikan membuat sebarang persiapan, berulang kali memberi amaran bahawa serangan Israel di Gaza akan menyebabkan warga Palestin kehilangan tempat tinggal dan memaksa mereka ke Sinai.

Perkara tersebut disifatkan sebagai tindakan yang tidak boleh diterima Kaherah, dengan mengulangi amaran dari negara-negara Arab lain seperti Jordan.

Amerika Syarikat berulang kali menyatakan bahawa ia akan menolak sebarang pengusiran warga Palestin di luar Gaza.

Salah satu sumber itu berkata bahawa Mesir meragukan rundingan gencatan senjata akan menghalang senario tersebut daripada berlaku. Namun, ia sedang membina kawasan di sempadannya sebagai langkah sementara dan berjaga-jaga.

Tiga sumber keselamatan menyatakan Mesir sedang menyediakan kawasan padang pasir dengan kemudahan asas, yang boleh digunakan untuk melindungi warga Palestin. Ia sekali lagi menekankan bahawa ia merupakan pelan kecemasan.

Israel menyatakan ia akan melancarkan serangan untuk menghapuskan "pusat terakhir Hamas" di Rafah, di mana lebih dari sejuta warga Palestin mencari perlindungan dari serangan di Gaza.
Sumber pertama berkata bahawa pembinaan kem pelarian itu dimulakan tiga atau empat hari lalu, dan akan menawarkan tempat perlindungan sementara sekiranya warga Palesting menyeberangi sempadan itu, sehingga "satu huraian dapat dicapai".

Ketika ditanya mengenai kenyataan oleh sumber-sumber tersebut, Khidmat Maklumat Negara Mesir menyatakan: "Ia tidak berasas. Saudara Palestin kami dan Mesir sudah menyatakan bahawa tiada persiapan yang sedang dijalankan."
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita