Mesir sedang bina 2 lebuh raya; dikhuatiri akan rosakkan kawasan piramid
Mesir sedang membina dua lebuh raya di pinggir ibu kota Kaherah yang bakal membahagikan kawasan piramid Giza kepada tiga bahagian.
(Gambar: Reuters)
KAHERAH: Mesir sedang membina dua lebuh raya di pinggir ibu kota Kaherah yang bakal membahagikan kawasan piramid Giza kepada tiga bahagian.
Para pencinta alam khuatir bahawa langkah itu akan menyebabkan kerosakan kepada tapak warisan dunia itu.
Namun begitu, pihak berkuasa menyatakan pembinaan lebuh raya itu perlu untuk memperbaiki hubungan pengangkutan dan mengekang kesesakan lalu lintas di Mesir.
Kerja-kerja binaan dua lebuh raya berkenaan disambung semula sebagai sebahagian rancangan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi untuk membina sebuah ibu kota baru.
Projek itu pada mulanya digantung pada tahun-tahun 1990-an tetapi kini, pelan yang diluaskan akan melibatkan pembinaan sebuah lebuh raya, sekitar satu kilometer ke selatan kawasan piramid.
Dua lebuh raya seluas lapan lorong itu dikhuatiri akan menyebabkan kerosakan kepada tapak warisan piramid Mesir.
Mantan pegawai kanan UNESCO, Said Zulficar, berjaya menangguhkan pembinaan lebuh raya itu pada pertengahan 1990-an.
Beliau masih berpendapat kerja-kerja binaan tidak harus dijalankan kerana kesannya ke atas tapak warisan itu adalah nyata.
Ini meskipun pihak berkuasa mendakwa mereka akan menjalankan kerja-kerja binaan secara berhati-hati.
Kerja-kerja binaan disambung semula di kawasan gurun lebih setahun lalu tetapi kini sudah mula kelihatan sejak Mac lalu.
Kawasan piramid di Giza dibuka semula bulan ini. Bagaimanapun jumlah pengunjungnya masih rendah, di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang ini.
Sektor pelancongan Mesir dilaporkan kehilangan AS$1 bilion ($1.4 bilion) setiap bulan sejak kemasukan pelancong disekat mulai Mac lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.