Skip to main content

Dunia

Mesir rasmi sekat permainan online Robolox

Anggaran Waktu Membaca:
Mesir rasmi sekat permainan online Robolox
Pihak berkuasa Mesir sekatplatform permainan online Roblox dek bimbang kandungannya galakkan kelakuan berbahaya dalam kalangan kanak-kanak. (Gambar fail: Reuters)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 02 Feb 2026 06:35PM Dikemas Kini : 02 Feb 2026 06:37PM
ISTANBUL: Pihak berkuasa Mesir menyekat secara rasmi platform permainan online Roblox, atas kebimbangan terhadap kandungan yang didakwa mempromosikan tingkah laku berbahaya dalam kalangan kanak-kanak, lapor  Anadolu Ajansi  yang memetik akhbar tempatan.

Timbalan Ketua Majlis Tertinggi Kawal Selia Media, Essam al-Amir berkata keputusan dikeluarkan untuk menyekat permainan elektronik popular itu, yang dikenali secara meluas dalam kalangan pengguna muda sebagai Roblox.

Beliau berkata demikian semasa sesi Dewan Senat yang diadakan bagi membincangkan risiko berkaitan penggunaan telefon bimbit dan aplikasi digital oleh kanak-kanak, menurut akhbar Youm7.

Majlis itu mengesyorkan tindakan diambil untuk menyekat laman web yang mempromosikan "tingkah laku menyimpang atau memudahkan penyebarannya," serta platform yang menyiarkan permainan elektronik yang menggalakkan keganasan, kata Encik Essam.

Beliau berkata majlis itu sedang menyelaraskan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekomunikasi Kebangsaan untuk melaksanakan langkah teknikal yang diperlukan bagi menguatkuasakan larangan berkenaan.

Langkah yang diambil oleh Mesir itu menyusuli tindakan serupa di rantau berkenaan. Pada September dan Ogos 2025, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar dan Oman mengenakan sekatan terhadap Roblox selepas amaran mengenai risiko berpotensi kepada kanak-kanak.

Di peringkat antarabangsa, Roblox menghadapi penelitian yang semakin meningkat. Pada Ogos 2025, negeri Louisiana di Amerika Syarikat memfailkan saman terhadap Roblox, dengan menuduh syarikat itu memudah cara eksploitasi kanak-kanak. Menurut laporan BBC, Roblox menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai "palsu".

Roblox merupakan platform permainan interaktif percuma yang dicipta hampir dua dekad lepas dan menjadi sangat popular dalam kalangan kanak-kanak serta remaja di seluruh dunia.
Sumber : Bernama/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita