Skip to main content

Dunia

Mesir perkukuh hubungan diplomatik jelang sidang puncak tergempar Doha

Anggaran Waktu Membaca:
Mesir perkukuh hubungan diplomatik jelang sidang puncak tergempar Doha

Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty adakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawatannya, Putera Faisal Farhan Al Saud dari Arab Saudi, Hakan Fidan dari Turkiye, dan Mohammad Ishaq Dar dari Pakistan. (Gambar: REUTERS)

ISTANBUL: Mesir mengumumkan siri hubungan diplomatik intensif dengan pegawai Arab, Islam dan serantau menjelang sidang puncak tergempar Arab-Islam yang akan dianjurkan Qatar esok (15 Sep), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Sidang puncak itu akan membincangkan serangan Israel baru-baru ini di Doha.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir,

Menteri Luar Badr Abdelatty mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya Putera Faisal Farhan Al Saud dari Arab Saudi,

Hakan Fidan dari Turki, dan Mohammad Ishaq Dar dari Pakistan.

Kementerian itu menyatakan hubungan itu dijalinkan “berikutan perkembangan serantau yang berlaku dengan pantas dan sebagai sebahagian daripada penyelarasan bersama dengan negara serantau menjelang sidang puncak tergempar Arab-Islam di Doha.”

Para pegawai berkenaan bertukar pandangan mengenai “cara menangani cabaran politik dan keselamatan yang serius, dihadapi rantau ini serta kesan daripada peristiwa mutakhir.”

Mereka turut menekankan kepentingan meneruskan penyelarasan politik, diplomatik dan ekonomi bagi memperkukuh keselamatan serta kestabilan di negara Arab dan Islam.

Kementerian itu menegaskan gesaan para pegawai berkenaan mengenai “solidariti dalam kalangan negara Arab dan Islam pada saat kritikal ini” dan keperluan menyelaras pendirian untuk melindungi kepentingan serantau serta menjamin keselamatan.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar Majed Al-Ansari mengesahkan pada Sabtu bahawa Doha akan menjadi tuan rumah sidang puncak itu, yang akan membincangkan draf resolusi berhubung serangan Israel ke atas Qatar.

Serangan Israel pada Selasa (9 Sep) menyasarkan kepimpinan Hamas di Doha, mengorbankan seorang pegawai keselamatan dalaman Qatar dan lima pegawai Hamas.

Hamas mengesahkan delegasi perundingannya terselamat, termasuk Ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya, manakala tiga pembantunya serta Jihad Labad, iaitu ketua pejabat Hayya, terbunuh.

Serangan itu berlaku semasa rundingan dijalankan tentang usulan perjanjian yang dikemukakan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang di Gaza yang meragut lebih 64,800 nyawa warga Palestin sejak Oktober 2023.

Qatar dan Mesir, bersama Amerika Syarikat, kekal sebagai pengantara utama dalam usaha menghuraikan konflik itu.

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita