Skip to main content

Dunia

Mesir enggan pulihkan hubungan dengan Israel tanpa keamanan yang adil

Anggaran Waktu Membaca:
Mesir enggan pulihkan hubungan dengan Israel tanpa keamanan yang adil

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 Jul 2026 10:13PM Dikemas Kini : 05 Jul 2026 10:14PM
KAHERAH/ISTANBUL: Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi menegaskan tidak akan berlaku "pemulihan hubungan" dengan Israel melainkan keamanan yang adil dicapai, yang menamatkan pendudukan Israel di wilayah Palestin dan membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, lapor Anadolu Ajansi.

Kenyataan Encik Sisi itu dibuat dalam ucapan pada Sabtu sempena majlis perasmian ibu pejabat Markas Strategik Negara di Ibu Kota Pentadbiran Baharu Mesir, di timur Kaherah, menurut satu kenyataan Presiden Mesir.

"Tidak akan ada keamanan berkekalan, kestabilan sebenar dan pemulihan hubungan kecuali dengan keamanan yang adil, yang menamatkan pendudukan, menghentikan kezaliman dan pencerobohan, mengembalikan hak kepada pemiliknya yang sah, serta menjamin keselamatan semua," kata presiden itu.

Beliau berkata keamanan yang adil akan memberi rakyat di rantau itu "peluang untuk hidup dalam kestabilan dan kemakmuran."

Encik Sisi turut menggesa sokongan diberikan bagi gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa pada Oktober 2025, selain perjanjian rangka kerja terbaharu antara Iran dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik mereka.

Beliau juga menggesa usaha dijalankan bagi menghalang sebarang percubaan untuk menjejaskan kedua-dua perjanjian itu.

Mengenai Markas Strategik Negara yang baharu dirasmikan itu, Encik Sisi menyifatkannya sebagai satu kemajuan besar bagi keupayaan perintah dan kawalan serta pengurusan operasi Mesir.

Beliau berkata kemudahan itu dilengkapi dengan infrastruktur teknologi canggih, sistem komunikasi selamat, keupayaan pengumpulan dan analisis maklumat risik serta rangka kerja bersepadu yang menghubungkan kepimpinan politik dan ketenteraan.

"Markas itu bukan sahaja bertanggungjawab menguruskan situasi ketenteraan, malah menjadi tunjang keupayaan negara dalam menghadapi cabaran dan keadaan luar biasa," katanya.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita