Mesin layan diri di Jepun ini boleh bantu anda cari jodoh

Gambar: lev dolgachov/Adobe Stock
TOKYO: Jepun merupakan sebuah negara yang terkenal dengan pelbagai jenis 'vending machine" atau mesin layan diri yang terletak di merata negara itu. Namun, baru-baru ini mesin layan diri di kejiranan Kamata Tokyo menarik perhatian ramai. Sebabnya - ia bukan setakat menjual produk yang biasa diperolehi dari mesin layan diri, menurut Sora News 24.
Sekali pandang, mesin itu kelihatan dipenuhi dengan tin. Namun, ia bukan sebarang tin tetapi tin cinta dan tidak mengandungi minuman. Sebaliknya, "tiket" untuk pembeli bertemu jodoh mereka.
Tin berwana merah jambu mewakili kaum wanita yang mencari cinta manakala warna kuning pula ialah bagi kaum lelaki yang ingin mencari pasangan. Terlekat di tin tersebut adalah usia mereka.
Mesin layan diri ini disediakan sebuah syarikat perkhidmatan mencari jodoh, Matching Advisor Press (MAP) bagi mereka yang benar-benar serius untuk mencari pasangan hidup mereka.
Setiap tin itu berharga 3,000 yen (S$35) namun ia tidak menjamin pembelinya mendapat pasangan ataupun janji temu. Sebaliknya, anda akan menerima sekeping baucer untuk sesi temu duga dan nasihat selama sejam bersama pegawai MAP yang namanya juga akan tertera di tin tersebut.
Pegawai MAP akan melihat sama ada pembeli itu sepadan dengan "jodoh" di tin yang dibeli. Sekiranya sesuai dan sepadan, pegawai MAP akan mengaturkan makan malam selama tiga jam bagi pasangan itu dengan bayaran khidmat tambahan 9,000 yen (S$105). Makanan dan minuman ketika temu janji tersebut haruslah dibayar sendiri oleh anda.
Sekiranya jodoh itu sampai ke jinjang pelamin anda dikenakan bayaran tambahan 300,000 yen (S$3,500) kepada MAP sebagai “ bayaran anugerah perkahwinan yang berjaya,” namun syarikat itu tidak mendedahkan bagaimana mereka mengesan perkahwinan tersebut.
Anda yang masih membujang, mungkin boleh cuba tin cinta ini. Manalah tahu, mungkin temu jodoh di Jepun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.