Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mersing daerah terbaru terjejas banjir; tiga sungai di Johor melebihi paras bahaya

Jumlah mangsa banjir di Johor melonjak kepada 2,912 orang setakat 12.00 tengah malam Selasa (24 Jan), berbanding 1,703 yang direkodkan pada 8.00 malam tadi dengan Mersing menjadi daerah terbaru terjejas bencana itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Mersing daerah terbaru terjejas banjir; tiga sungai di Johor melebihi paras bahaya

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Jan 2023 07:22AM Dikemas Kini : 25 Jan 2023 07:50AM

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor melonjak kepada 2,912 orang setakat 12.00 tengah malam Selasa (24 Jan), berbanding 1,703 yang direkodkan pada 8.00 malam tadi dengan Mersing menjadi daerah terbaru terjejas bencana itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan satu memaklumkan sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan PPS ialah 30 di daerah Kota Tinggi, Kluang, Mersing dan Segamat.

"Segamat terus menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 1,392 orang daripada 393 keluarga ditempatkan di 13 PPS diikuti Kluang dengan 785 orang daripada 223 keluarga ditempatkan di sembilan PPS," menurut kenyataan itu.

Di Kota Tinggi, JPBN memaklumkan seramai 471 orang daripada 120 keluarga ditempatkan di enam PPS, manakala di daerah Mersing terdapat dua PPS yang menempatkan 264 penduduk daripada 97 keluarga.

Kenyataan itu memaklumkan selain tiga laluan di Kota Tinggi, Jalan Senai-Gemas dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung, kedua-duanya di Segamat, turut ditutup kepada semua kenderaan.

Sementara itu, tiga stesen yang merekodkan data aras sungai di Johor mencatatkan tiga sungai telah melebihi paras bahaya dengan trend menaik setakat pukul 8.00 malam manakala empat lagi merekodkan aras amaran.

Menurut kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga stesen tersebut ialah Sungai Gemas di Kampung Lubok Kepong, Segamat dengan bacaan 19.09 meter (m), Stesen Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (6.76m) dan Stesen Sungai Segamat di Segamat Kechil (38.70m).

Stesen yang mencatatkan paras air pada tahap amaran di Johor ialah Stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dengan bacaan 14.83m,  Kampung Parit Tengah, Muar (3.17m), Sungai Siku di Kampung Murni Jaya, Kulai (17.82m) dan Stesen Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat (19.79m). 

JPS memaklumkan tiga lagi stesen masing-masing satu di Sarawak, Pahang dan Negeri Sembilan mencatatkan status kategori amaran. 

Di Sarawak, Stesen Kuala Balingian di Mukah mencatatkan bacaan 1.37m manakala Stesen Sungai Pukin di Rompin dengan catatan 44.68m. 

Sementara di Negeri Sembilan, paras air di Stesen Sungai Gemas di Kampung Tiong, Tampin juga dalam kategori amaran dengan bacaan 21.51m. 

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan