Mersing daerah baru terjejas; mangsa banjir Johor terus meningkat
Keadaan sebuah rumah di Kota Tinggi pada malam 3 Januari 2022. (Gambar: Mawi Burger KJ/Facebook)
JOHOR BAHRU: Mersing menjadi daerah terbaru terjejas akibat banjir di Johor selepas enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menempatkan 366 mangsa daripada 90 keluarga di daerah itu, setakat jam 8.00 pagi ini (3 Jan).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R Vidyananthan berkata, PPS yang melaporkan jumlah mangsa tertinggi di daerah itu ialah Politeknik Mersing, dengan 104 mangsa daripada 27 keluarga, seperti dinukil Astro AWANI.
Ia disusuli oleh SK Air Papan, membabitkan 84 mangsa daripada 19 keluarga dan Kompleks Taman Negara Endau-Rompin dengan 62 mangsa daripada 13 mangsa.
Menurut Astro AWANI lagi, PPS lain adalah SK Tenglu yang menempatkan 57 mangsa daripada 15 keluarga, SK Sri Pantai membabitkan 56 mangsa daripada 15 keluarga dan Balai Raya Sri Pantai, yang menempatkan tiga mangsa daripada satu keluarga.
“Keseluruhan mangsa banjir di Johor meningkat kepada 3,841 pada 8.00 pagi, berbanding 3,665 pada 4.00 pagi tadi.
“Keseluruhan PPS yang dibuka setakat ini sebanyak 62, berbanding hanya 59 PPS pada tengah malam tadi di lima lagi daerah terjejas iaitu Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kluang.
"Ketika ini, Segamat masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 3,178 orang daripada 828 keluarga, yang ditempatkan di 47 PPS.
"Manakala Kota Tinggi mencatatkan 122 mangsa daripada 41 keluarga, yang ditempatkan di 3 PPS," katanya.
Menurut Encik Vidyananthan, dua sungai di Johor berada pada paras bahaya membabitkan Sungai Segamat dan Sungai Tangkak, setakat 8.00 pagi tadi (3 Jan).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.