Mercu tanda ikonik baru dibuka di Dubai
Digelar sebagai 'bangunan paling cantik di dunia', Museum of The Future dibuka pada Selasa (22 Feb) di Dubai.

(Gambar: AFP)
DUBAI: Digelar sebagai 'bangunan paling cantik di dunia', Museum of The Future dibuka pada Selasa (22 Feb) di Dubai.
Ia sekali gus menandakan kemunculan satu lagi mercu tanda di Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengambil masa sembilan tahun untuk disiapkan.
Bangunan setinggi tujuh tingkat dengan keluasan 30,000 meter persegi itu terletak tidak jauh dari bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa, yang merupakan sebuah lagi struktur ikonik yang menghiasi latar langit Dubai.
Museum of The Future merupakan satu lagi usaha untuk menonjolkan seni bina Dubai dengan reka bentuk berciri futuristik.
Direka oleh jurubina Shaun Killa, bangunan itu diilhamkan sebagai ikon seni bina dan budaya selain daripada merupakan pencapaian luar biasa dalam reka bentuk dan kejuruteraan bantuan komputer.
Diperbuat daripada bahan keluli tahan karat, bahagian depan bangunan itu sahaja mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan, yang terdiri daripada pemasangan panel bahan komposit empat lapisan yang amat rumit.
Garisan cahaya sepanjang 14,000 meter menerangi lukisan khat tiga petikan kata-kata Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum, yang merupakan Naib Presiden merangkap Perdana Menteri UAE serta Ketua Pemerintah Dubai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.