Menyingkap perjalanan 92 tahun Lee Biscuits dari SG ke Johor
Bagi beberapa generasi rakyat Malaysia dan Singapura, biskut Marie, biskut kraker masin, biskut berinti pisang dan biskut aising berwarna-warni keluaran Lee Biscuits merupakan antara makanan ringan yang tidak asing lagi.
Para pekerja mengambil gambar di luar kilang Lee Biscuits di Pontian, Johor, pada 29 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
- Founded by Lee Kong Chian in Singapore in 1934 to make affordable biscuits, Lee Biscuits built a brand familiar to families in Malaysia and Singapore.
- Manufacturing moved to Tampoi in 1955 and then to Pontian in 2005. The company expanded its product range, upgraded its factory and obtained food safety certifications.
- Lee Group is scheduled to stop production in Pontian at the end of October as part of a restructuring, consolidation of assets and a focus on rubber and palm oil.
- Layoff notices began circulating in September. About 300 workers are expected to remain on duty until the closure, while workers and local traders such as Rogayah Othman face a sad farewell.
- Lee Biscuits, diasaskan Lee Kong Chian di Singapura pada 1934 untuk menghasilkan biskut mampu milik, membina jenama yang akrab kepada keluarga Malaysia dan Singapura.
- Pengilangan berpindah ke Tampoi pada 1955, kemudian ke Pontian pada 2005; syarikat memperluas produk dan menaik taraf kilang serta memperoleh pensijilan keselamatan makanan.
- Lee Group dijadual menghentikan pengeluaran di Pontian pada akhir Oktober sebagai sebahagian penyusunan semula, penyatuan aset dan tumpuan kepada getah serta minyak sawit.
- Notis pemberhentian mula diedarkan pada September; kira-kira 300 pekerja dijangka bertugas hingga penutupan, sementara pekerja dan peniaga setempat seperti Rogayah Othman berdepan perpisahan yang menyedihkan.
Kini, selepas 92 tahun, pengeluar biskut yang turut dikenali sebagai Nam Lee itu bersiap sedia untuk menghentikan pengeluaran di kilangnya di Pontian, Johor, pada akhir Oktober.
Diasaskan di Singapura pada 1934 oleh tokoh perniagaan dan dermawan terkenal Lee Kong Chian, syarikat tersebut memindahkan operasi pengilangannya ke Johor pada 1955, pada awalnya di Tampoi sebelum berpindah ke Pontian.
Ketika Mediacorp mengunjungi kilang tersebut pada Khamis (29 Okt), para pekerja enggan mengulas mengenai penutupan yang bakal berlaku. Beberapa pekerja dilihat mengambil gambar di luar kilang tersebut menjelang hari-hari terakhir operasinya.
Namun, bagi mereka yang kehidupannya sudah lama terkait rapat dengan kilang tersebut, penutupan itu membawa kesedihannya yang tersendiri.
Rogayah Othman, 62 tahun, mengusahakan sebuah gerai makanan di luar pintu pagar kilang tersebut sejak 2012, dengan para pekerja sering kali menyinggah gerainya untuk bersarapan dan makan tengah hari.
"Saya sedih kerana sudah rapat dengan sebahagian pekerja di sini. Mereka seperti anak-anak saya sendiri," kata beliau kepada Mediacorp.
Beberapa produk Lee Biscuits masih disenaraikan untuk dijual di laman web FairPrice, rangkaian pasar raya di Singapura, setakat Khamis.
Mediacorp menyingkap kembali perjalanan pengeluar biskut tersebut dari Singapura ke Johor.
1934–1955: DARIPADA EMPAYAR GETAH KEPADA PENGILANGAN BISKUT
Sejarah Lee Biscuits bermula pada 1934 apabila syarikat itu ditubuhkan di Singapura oleh Lee Kong Chian, salah seorang tokoh perniagaan paling terkemuka di Asia Tenggara pada zamannya.
Turut dikenali sebagai "Raja Getah" dan "Raja Nanas", Encik Lee membina sebuah empayar perniagaan yang luas, merangkumi ladang getah, penanaman nanas, sektor pengilangan dan pelbagai industri lain.
Menurut Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) Singapura, Encik Lee mengumpul sebahagian besar kekayaannya menerusi perdagangan getah sebelum mempelbagaikan perniagaannya dengan menubuhkan syarikat-syarikat seperti Lee Pineapple, Lee Biscuits dan Lee Sawmills.
Beliau juga merupakan menantu kepada hartawan getah dan dermawan Tan Kah Kee, yang memperkenalkannya kepada industri getah.
Selain kegiatan perniagaannya, Encik Lee turut dikenali atas sumbangan dermawannya, khususnya dalam bidang pendidikan. Beliau banyak menyumbang kepada pelbagai sekolah dan universiti di Malaysia serta Singapura.
Ditubuhkan ketika Singapura masih berada di bawah pemerintahan penjajah, Lee Biscuits bermatlamat menghasilkan biskut pada harga yang berpatutan bagi para pengguna di rantau ini.
Antara produk terawalnya ialah biskut kraker berkrim, biskut berinti pisang dan biskut Marie, yang kemudiannya menjadi makanan ringan yang biasa dinikmati oleh isi rumah di Singapura dan Malaysia.
Syarikat itu turut membangunkan jenama seperti Shield, Turkey dan Bell.
1955: SEBERANG TAMBAK KE JOHOR BAHRU
Selepas 21 tahun beroperasi di Singapura, Lee Biscuits memindahkan operasi pengilangannya merentasi Koswe ke Tampoi, Johor Bahru, pada 1955.
Menurut The Rakyat Post, pemindahan tersebut bertujuan membolehkan syarikat berkenaan mendapatkan akses yang lebih luas kepada rantaian bekalan pertanian dan kawasan perindustrian di Malaysia.
Menurut laman web Lee Biscuits, pemindahan itu turut disertai beberapa pengambilalihan yang membolehkan syarikat tersebut memperluas operasi dan rangkaian produknya.
1965 DAN SETERUSNYA: LEBIH BANYAK PILIHAN BISKUT
Seiring dengan perkembangan keupayaan pengilangannya, pilihan biskut yang ditawarkan syarikat itu turut bertambah.
Mulai 1965, Lee Biscuits memperluas rangkaian produknya dengan memperkenalkan biskut berinti lemon, biskut aising berwarna-warni, biskut berbentuk haiwan serta biskut krim coklat dan mentega.
Pada 2000, Lee Biscuits menaik taraf sepenuhnya kemudahan pengeluarannya menjadi sebuah kilang moden.
Menurut laman syarikat tersebut, Lee Biscuits turut memulakan usaha penyelidikan dan pembangunan produk bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin mementingkan kesihatan.
Lima tahun kemudian, syarikat itu memindahkan operasi pengilangannya dari Tampoi ke Pontian, juga di Johor, bagi menampung perkembangan perniagaan selanjutnya.
Menurut The Edge Malaysia, tapak bekas kilang di Tampoi itu kemudiannya dibangunkan bagi pasar raya besar Giant.
Pada 2008, syarikat tersebut memperoleh pensijilan ISO serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan piawaian pengilangan dan keselamatan makanan.
2023–2026: MENAMATKAN OPERASI SECARA BERPERINGKAT
Penutupan Lee Biscuits yang bakal berlaku menyusuli penutupan sebuah lagi syarikat pengilangan makanan yang sudah lama beroperasi di bawah Lee Group.
Pada November 2023, kumpulan tersebut menutup kilang pengetinan nanas Lee Pineapple yang sudah beroperasi selama beberapa dekad di Skudai, Johor, sedang ia mengalihkan tumpuan kepada penanaman kelapa sawit.
Penutupan tersebut turut mencetuskan gelombang nostalgia, dengan orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan minuman nanas keluarannya sebelum pengeluaran dihentikan.
Hampir tiga tahun kemudian, kini tiba giliran Lee Biscuits pula.
Media Malaysia melaporkan bulan ini bahawa kilang di Pontian tersebut akan menghentikan pengeluaran pada akhir Oktober. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas di Pontian, Tan Eng Meng, mengesahkan penutupan tersebut kepada saluran berita berbahasa Cina Malaysia, China Press.
Menurut New Straits Times, penutupan itu merupakan sebahagian daripada langkah penyusunan semula oleh kumpulan induknya, yang dilaporkan sedang mengurangkan pelibatan dalam pengilangan makanan ringan bagi menyatukan aset dan memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya, termasuk operasi getah dan minyak sawit.
Para pembekal dan pelanggan mula menerima notis mengenai pemberhentian pengeluaran pada September. Kilang tersebut juga dilaporkan sedang memberhentikan para pekerjanya.
Kira-kira 300 pekerja dijangka terus bekerja sehingga akhir Oktober, terutamanya bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan tugas lain di kilang tersebut, menurut laporan China Press.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.