Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri terima surat peraturan pakaian dari Jemaah Majlis Istana Johor

Sumber dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Malaysia mengesahkan bahawa menterinya Salahuddin Ayub menerima surat daripada Jemaah Majlis Diraja Johor berkenaan peraturan pakaian negeri itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri terima surat peraturan pakaian dari Jemaah Majlis Istana Johor

 Salahuddin Ayub. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Jun 2019 03:03PM Dikemas Kini : 23 Jun 2019 03:07PM

MALAYSIA: Sumber dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Malaysia mengesahkan bahawa menterinya Salahuddin Ayub menerima surat daripada Jemaah Majlis Diraja Johor berkenaan peraturan pakaian negeri itu.

Malaysiakini melaporkan Encik Salahuddin menerima surat tersebut pada 20 Jun selepas gambar beliau memakai baju Melayu cekak musang dan seluar hitam ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini tersebar di media sosial.

Menurut Malaysiakini, surat itu bertarikh 9 Jun 2019 dan ditandatangani Yang Dipertua Jemaah Majlis Diraja Johor Abdul Rahim Ramli.

"Adalah saya dengan hormatnya melampirkan bersama ini sesalinan Percanangan Dalam Bil: 2/2019 bertarikh 2 Jun 2019 berkenaan peraturan pakaian Johor.

"Jumaah Majlis Diraja berharap Yang Berhormat Dato' sebagai anak Johor, mengambil perhatian kepada peraturan tersebut, seterusnya memelihara dan memartabatkan budaya Johor," menurut Encik Abdul Rahim dalam surat itu seperti dinukil Malaysiakini.

TRADISI "NAK JADI PM & SULTAN JOHOR", SINDIR TMJ

Pemakaian Encik Salahuddin mendapat perhatian apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengongsikan gambar tersebut pada Hari Raya Pertama (5 Jun) dengan petikan: "Yang ini pula tradisi nak jadi perdana menteri dan Sultan Johor pada masa yang sama."

Dalam satu catatan berbeza, TMJ mengongsikan gambarnya bersama adik-beradik dan Sultan Johor berbaju Melayu teluk belanga dan berseluar hitam.

Tunku Ismail berkata ia merupakan pakaian tradisi keluarga diraja Johor.

"Identiti ini melambangkan keluarga Sultan Ibrahim dan kerabat damping. Keluarga yang memerintah. Darah keturunan sultan.

"Itu fasal kita boleh lihat tiada orang dalam kerajaan pakai seluar hitam. Kerana hanya keluarga di raja dan atau kerabat damping yang boleh pakai atau layak pakai seluar hitam," katanya.

Malaysiakini melaporkan catatan itu turut menjadi perbincangan hangat dengan ramai yang mengkritik kenyataan "helang dan pipit" yang dipercayai sebagai kiasan perbezaan darjat antara golongan diraja dengan orang kebanyakan.

"Kau jangan lupa helang dan pipit terbang tak sama tinggi. Kau baik tahu tempat masing-masing dan angan-angan itu rendahkan sikit daripada rumput," katanya.

Malaysiakini menghubungi Encik Salahudin berhubung perkara tersebut dan sedang menunggu maklum balas daripadanya.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan