Menteri Pertahanan M'sia gesa umat Islam jangan terperangkap sentimen perkauman dan agama
Umat Islam di Malaysia hari ini (2 Dis), diingatkan supaya berwaspada dan jangan mudah terjebak dalam perangkap sentimen perkauman dan agama yang ditiupkan oleh para penyokong pemerintah sebelum ini.
Menteri Pertahanan Malaysia, Encik Mohamad Sabu. (Gambar: BERNAMA)
SANDAKAN: Umat Islam di Malaysia hari ini (2 Dis), diingatkan supaya berwaspada dan jangan mudah terjebak dalam perangkap sentimen perkauman dan agama yang ditiupkan oleh para penyokong pemerintah sebelum ini.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kumpulan itu sengaja menggunakan cara sentimen untuk muncul dan 'bangun' segera sekali gus menghindar dari dakwaan penyelewengan harta terhadap pemimpin mereka.
"Kita (Pakatan Harapan) baru mengambil alih pemerintahan enam bulan, jadi apa yang boleh membantu 'mereka' segera untuk bangun? Tidak lain, tidak bukan adalah isu perkauman dan keagamaan.
"Ceramah paling mudah (bangkit sentimen) adalah hujah perkauman dan sebab itu kita kena berjaga-jaga, sentiasa berhujah biar berilmu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis konvensyen Parti Amanah Negera (Amanah) peringkat Sabah, hari ini (2 Dis).
Katanya, rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada tindakan mengapi-apikan sentimen di beberapa negara Islam yang kini hancur termasuk di Syria, Libya, Iraq, Somalia dan Afghanistan.
Berkongsi perkara itu, Encik Mohamad Sabu sekadar mahu menyedarkan bahawa isu kuil di Selangor yang berlaku baru-baru ini bukan berkaitan isu perkauman dan perkara tersebut boleh diselesaikan dengan cara baik serta rundingan tetapi terdapat pihak mengambil kesempatan menyemarakkan semangat perkauman.
Sementara itu, katanya pemimpin dalam Pakatan Harapan diharap dapat telus dan jujur dengan rakyat sebagai usaha memenangi hati akar umbi.
Dalam pada itu, Encik Mohamad Sabu turut mengingatkan semua anggota Pakatan Harapan tidak mendabik dada dengan kemenangan pada pilihan raya lalu sebaliknya terus kukuh bersatu antara sesama parti iaitu Parti Keadilan Rakyat, DAP, Amanah, BERSATU, serta Parti Warisan Sabah.
"BN yang begitu kuat kita lihat, tetapi bila satu cabangnya mula lemah, akhirnya kalah dengan MIC lemah pada 2008 kemudian MCA dan tinggal UMNO," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.