Menteri Pertahanan Israel arah tentera lakar pelan pindahkan penduduk Gaza
Menteri Pertahanan Israel Katz pada Khamis (6 Feb)mengarahkan tentera Israel untuk menyediakan pelan bagi membolehkan para penduduk dari Carikan Gaza untuk "meninggalkan wilayah itu secara sukarela", lapor media Israel.

Rakyat Palestin dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di utara Gaza pada 27 Jan 2025 di tengah-tengah gencatan senjata Israel-Hamas. (Gambar: REUTERS/Ramadan Abed)
Arahan itu dikeluarkan menyusuli pengumuman mengejut Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang menyatakan bahawa Amerika merancang untuk mengambil alih Gaza, menempatkan semula penduduk Palestin yang tinggal di sana dan mengubah wilayah itu menjadi "Riviera Timur Tengah".
“Saya mengalu-alukan rancangan berani Presiden Trump, para penduduk Gaza harus diberikan kebebasan untuk meninggalkan wilayah itu dan berpindah, kerana ini adalah satu norma di merata dunia,” kata Encik Katz kepada stesen penyiaran Channel 12 di Israel.
Apabila ditanya siapa yang akan mengambil para penduduk Palestin, Encik Katz berkata sepatutnya negara-negara yang telah menentang operasi ketenteraan Israel di Gaza.
“Negara-negara seperti Sepanyol, Ireland, Norway dan lain-lain, yang telah melemparkan tuduhan dan tuntutan palsu terhadap Israel atas tindakan kami di Gaza, sepatutnya diwajibkan untuk membenarkan mana-mana penduduk Gaza memasuki wilayah mereka,” kata Encik Katz.
Pelan Encik Katz akan merangkumi pilihan untuk meninggalkan Carikan Gaza melalui lintasan darat, serta aturan khas untuk berlepas melalui laut dan udara, lapor Channel 12.
Saranan Presiden Trump telah diselar oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti Rusia, China dan Jerman, yang menyatakan bahawa saranan tersebut akan mewujudkan "penderitaan baharu dan kebencian baharu."
Arab Saudi menolak saranan itu dengan sekeras-kerasnya dan Raja Jordan Abdullah, yang akan bertemu Presiden Trump di Rumah Putih minggu depan, berkata pada Rabu (5 Feb) bahawa beliau turut menolak sebarang percubaan untuk menjajah tanah dan memindahkan penduduk Palestin.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bagaimanapun menegaskan pada Rabu (5 Feb) bahawa saranan Presiden Trump adalah sesuatu yang "luar biasa" dan menggesa agar saranan itu diteroka, walaupun beliau tidak menyatakan secara spesifik tentang apa yang akan ditawarkan oleh Presiden Trump.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.