Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup M'sia Salahuddin Ayub meninggal dunia
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup M'sia Salahuddin Ayub meninggal dunia 23 Jul. (Gambar: Facebook/Salahuddin Ayub)
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia Salahuddin Ayub meninggal dunia pada pukul 9.23 malam (23 Jul) pada usia 61 tahun.
Perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Fatiha Salahuddin menerusi kenyataan di laman Facebook.
“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin iaitu Syakirin Husnal dalam kenyataan berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Beliau berkata keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan kepada Salahuddin selama ini.
“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah,” katanya.
Pada Sabtu (22 Jul), Encik Syakirin memaklumkan bahawa Encik Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
SOLAT JENAZAH DUA KALI
Jenazah disolatkan di Masjid Al-Badar, Jalan Langgar, di Alor Setar pada pukul 12.22 tengah malam (23 Jul), diimamkan oleh imam masjid Abu Bakar Shaikh Abdullah dan disertai kira-kira 100 jemaah.
Jenazah Allahyarham Salahuddin kemudian dibawa pulang ke Johor dengan penerbangan khas pada pukul 1.00 pagi Isnin (24 Jul) dan tiba di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kira-kira pukul 2.30 pagi.
Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat di Pontian, Johor, pada pukul 12.00 tengah hari Isnin (24 Jul), selepas solat jenazah kedua pada pukul 11.00 pagi di Masjid Jamek Dato’ Hj Noh Gadot, Serkat.
DISAYANGI, BERPRINSIP
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penerbangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Alor Setar pada pukul 11.00 malam.
"Saya amat sedih mendengar berita tersebut, pegawai Allahyarham memaklumkan kepada saya untuk dapatkan pesawat khas untuk bawa jenazah ke kampung halamannya untuk dikebumikan," katanya ketika berucap pada majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam semalam (23 Jul).
Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang amat disayangi dan berprinsip dalam perjuangan politiknya bersama Pakatan Harapan (PH).
Encik Loke berkata Allahyarham juga sudah menjalankan tugasnya sebagai menteri dengan amat baik menerusi pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban rakyat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.