Skip to main content

Dunia

Menteri Pengangkutan Malaysia gesa kaunter VEP di Woodlands buat 'yang terbaik' bantu pemandu SG

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke pada Selasa (20 Ogos) mengatakan beliau sudah mengarahkan vendor, yang menangani pertanyaan mengenai Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di Singapura, "untuk melakukan yang terbaik untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai" dan "memudahkan proses (permohonan)" bagi para pemandu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media mengenai kebimbangan yang dibangkitkan pemandu Singapura sehari sebelum kebingungan mengenai proses permohonan bagi VEP itu. Ini menyusuli pembukaan sebuah kaunter maklumat di Woodlands.

Sekalipun demikian, Encik Loke menekankan bahawa kementeriannya tidak dapat melakukan tugas TCsens – vendor yang dilantik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) untuk mengendalikan pertanyaan daripada pemandu Singapura – apabila ia berkaitan dengan khabar pembukaan pejabatnya pada 19 Ogos.

"Notis itu diberikan, kami sudah meminta vendor untuk mengumumkannya secara terbuka kerana ia adalah pejabat milik mereka, bukan dikendalikan oleh kementerian. Kami tidak boleh mengeluarkan kenyataan bagi pihak mereka," kata Encik Loke, merujuk kepada sebab kementeriannya menyepi mengenai pembukaan kaunter maklumat berkenaan.

Tiada pengumuman awam dibuat mengenai lokasi sebenar pejabat di Woodlands itu oleh TCSens mahupun oleh pihak berkuasa Malaysia. Encik Loke pada 1 Ogos lalu mengumumkan bahawa TCSens akan bekerjasama dengan rakan firma Singapura untuk membuka kaunter maklumat di negara ini untuk menjawab pertanyaan daripada para pemandu.
Mediacorp merupakan yang pertama untuk melaporkan mengenai lokasi sebenar kaunter maklumat tersebut pada 19 Ogos - 186 Woodlands Industrial Park E5. Ia sekali gus membuat berpuluh-puluh pemandu rakyat Singapura mengunjungi pejabat itu pada sebelah tengah hari pada hari tersebut.

Para pemandu berkongsi bahawa mereka mendapat tahu mengenai lokasi kaunter maklumat itu menyusuli penerbitan laporan CNA.

Encik Loke pada Selasa mendedahkan bahawa pihak berkuasa Malaysia sudah meminta TCSens untuk membuka kaunter maklumat di Singapura disebabkan jumlah pertanyaan yang diterima tentang VEP.

"Itulah sebabnya kami mengarahkan vendor untuk melakukan yang terbaik untuk memaklumkan kepada orang ramai di Singapura dan memudahkan proses itu," katanya sambil menambah bahawa syarikat tersebut juga sudah menambah bilangan kakitangan di kaunter panggilannya serta di pejabatnya di Danga Bay, Johor Bahru.

Namun, seorang pengurus di kaunter maklumat itu di Woodlands memberitahu Mediacorp bahawa ia adalah "kaunter pertanyaan" semata-mata. Pemandu tidak boleh memasang atau mengambil tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) di pejabat tersebut.

Mulai 1 Oktober, semua kenderaan asing yang mahu memasuki Malaysia melalui darat dari Singapura perlu menggunakan VEP. Kenderaan yang berdaftar akan diberikan tag RFID, yang berharga RM10 (S$3).

Tindakan akan diambil terhadap sebarang kenderaan asing yang memasuki Malaysia tanpa VEP, bermula 1 Oktober. Sesiapa yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM2,000 (S$600) atau dipenjara sehingga enam bulan.

Encik Loke menarik perhatian bahawa dengan tarikh akhir menjelang tiba, ramai dijangka tergesa-gesa untuk membuat permohonan dan mengajukan pertanyaan.

"Jika kita tidak menetapkan tarikh akhir, tiada siapa yang akan serius memohon sistem itu. Sekali lagi, saya tegaskan ini bukan perkara baharu...Bagaimanapun, kami akan memantau dengan teliti, dan kami akan memastikan pelaksanaan lancar menjelang 1 Oktober," tekannya.

Pada masa yang sama, Encik Loke memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa VEP, tidak dikuatkuasakan dengan niat untuk menghalang mereka ke sempadannya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita