Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke, letak jawatan; wakil DAP lain kekal dalam kabinet
Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan menyusuli keputusan yang membenarkan mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah, lapor Astro Awani.
Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke berucap dalam sidang media menyusuli kongres parti tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 16 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
- Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas keputusan membenarkan Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
- Beliau berkata surat akan dihantar kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, namun menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
- Keputusan itu dibuat selepas CEC DAP bermesyuarat hampir tiga jam pada Sabtu, 19 Sep, diikuti sidang media di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur.
- DAP menghormati kuasa pengampunan Agong, tetapi menganggap keputusan itu sukar diterima kerana isu rasuah, 1MDB dan risiko ketidakstabilan politik.
Encik Loke berkata, beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Bagaimanapun jelas Encik Loke, keputusan tersebut hanya melibatkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Tegasnya, keputusan berkenaan dicapai selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bermesyuarat dan membahaskan perkara itu selama hampir tiga jam pada petang Sabtu (19 Sep).
“Pendirian DAP diterjemahkan melalui peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan. Saya akan mengemukakan surat kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, pada Sabtu, seperti yang dipetik Astro Awani.
Menurut Encik Loke, barisan menteri dan timbalan menteri DAP turut menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan pada bila-bila masa.
Namun ujarnya, CEC memutuskan mereka perlu kekal dalam kerajaan buat masa ini bagi menjamin kestabilan politik negara dan mengelakkan pentadbiran Encik Anwar kehilangan sokongan majoriti.
Kata beliau lagi, DAP menyedari terdapat pihak tertentu yang menunggu parti tersebut keluar daripada kerajaan sehingga boleh mencetuskan ketidakstabilan politik atau membawa kepada perubahan kerajaan.
“Kita amat sedar permainan politik pihak tertentu dan harapan mereka supaya DAP membuat keputusan yang membolehkan cita-cita politik mereka tercapai. Kita tidak akan memberi ruang kepada perkara itu,” kata Encik Loke.
Mengulas keputusan tahanan rumah Najib, Encik Loke berkata DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan itu tidak boleh dipertikaikan.
Namun, menurut Astro Awani, Encik Loke bertegas, DAP berpandangan keputusan berkenaan sukar diterima kerana negara tidak mempunyai peruntukan undang-undang atau duluan membabitkan individu yang disabitkan atas kesalahan rasuah menjalani hukuman secara tahanan di rumah.
Beliau turut menegaskan, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu kleptokrasi sudah membelenggu negara sejak sedekad lalu serta menyebabkan kerugian berpuluh-puluh bilion ringgit.
Menurutnya, DAP akan terus berpegang kepada perjuangan menegakkan kebenaran dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.