Menteri pengangkutan Malaysia alu-alukan manfaat ekonomi projek Laluan RTS bagi Johor
Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS) akan membawa manfaat ekonomi yang besar kepada Johor sambil mengurangkan masalah kesesakan yang sering menjadi rungutan di Koswe, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Wee Ka Siong pada Khamis (30 Jul).
Menteri-menteri Pengangkutan Malaysia dan Singapura, Wee Ka Siong (kiri) dan Ong Ye Kung, memegang perjanjian untuk menyambung semula projek Laluan RTS dalam satu majlis di Koswe pada 30 Jul 2020. (Gambar: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS) akan membawa manfaat ekonomi yang besar kepada Johor sambil mengurangkan masalah kesesakan yang sering menjadi rungutan di Koswe, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Wee Ka Siong pada Khamis (30 Jul).
Bercakap kepada wartawan selepas majlis bagi menandakan kesepakatan untuk menyambung semula projek tersebut, Dr Wee berkata pembinaan depot di Wadi Hana sahaja akan mewujudkan 1,500 pekerjaan.
“Penduduk tempatan juga boleh mengambil bahagian dari segi bekalan bahan. Apabila kerja-kerja binaan bermula, 150 perusahaan sokongan akan meraih manfaat. Pastinya, dengan projek sebesar ini impak dan kesannya juga akan dirasakan penduduk,” katanya lagi.
Majlis tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya di Malaysia Encik Muhyiddin Yassin.
Kos keseluruhan pembinaan projek RTS itu yang sebelum ini ditangguhkan atas permintaan Malaysia dianggarkan bernilai RM10 bilion (S$3.24 bilion).
Kedua pemerintah bersetuju dengan nisbah (kos) 61:39, dengan Singapura membiayai sehingga 61 peratus kos projek manakala Malaysia menegeluarkan kos RM3.716 bilion (S$1.2 bilion).
“Maka, kos RM10 bilion (S$3.24 bilion) itu ialah untuk jarak sepanjang empat kilometer. Jarak Malaysia ialah kira-kira 2.7 km dan 1.3 km untuk Singapura,” katanya.
Dr Wee juga berkata pembinaan RTS berkenaan akan dilakukan dalam dua fasa iaitu bahagian pertama pada awal 2021 hingga hujung 2024, merangkumi fasa pembinaan atau pembangunan struktur sivil.
Fasa dua pula akan bermula awal 2025 hingga akhir 2026, melibatkan pembinaan sistem seperti isyarat, 'rolling stock', telekomunikasi, dan pengujian sistem.
Singapura dan Malaysia menetapkan 10 Ogos sebagai tarikh untuk menyambung semula perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara bagi sebilangan penduduk dan ahli niaga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.