Skip to main content

Dunia

Menteri-menteri Arab mula lawat negara anggota UNSC untuk dapat sokongan henti perang di Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri-menteri Arab mula lawat negara anggota UNSC untuk dapat sokongan henti perang di Gaza

Timbalan Perdana Menteri Jordan Ayman Safadi menyertai lawatan menteri-menteri Arab-Islam ke beberapa negara anggota tetap UNSC. (Gambar: Khalil Mazraawi/AFP)

AMMAN: Jawatankuasa peringkat menteri yang dilantik untuk merangka tindakan antarabangsa demi menamatkan perang Israel ke atas Gaza memulakan tugasnya pada Ahad (19 Nov), lapor Agensi Berita Petra.

Timbalan Perdana Menteri Jordan merangkap Menteri Luar dan Ekspatriat Ayman Safadi menyertai lawatan menteri-menteri Arab-Islam ke beberapa negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

China menjadi persinggahan pertama, menurut jurucakap Kementerian Luar Jordan Sufyan Qudah.

Jawatankuasa yang ditubuhkan selari dengan keputusan dicapai dalam Sidang Puncak Arab-Islam anjuran Arab Saudi pada minggu lalu itu, terdiri daripada Menteri Luar Mesir, Indonesia, Jordan, Nigeria, Palestin, Qatar dan Turki, selain Setiausaha Agung Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Encik Sufyan berkata delegasi akan bertemu menteri-menteri luar dan pegawai kanan lain di negara yang dikunjungi untuk mendapatkan sokongan antarabangsa dan melaksanakan segera tindakan antarabangsa yang berkesan untuk menghentikan perang yang sedang berlaku di Gaza.

Antara peranan lain jawatankuasa itu termasuk memberi penerangan tentang kekejaman Israel terhadap orang awam Palestin serta tempat ibadat dan hospital.
Sumber : Agensi berita/BERNAMA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita