Menteri M'sia mahu kemuka cadangan siarkan Piala Dunia 2018 live
Cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini (30 Mei) dan berharap akan mendapat jawapan segera.

Poster Piala Dunia 2018 dipasang. (Gambar: AFP/Mladen Antonov)
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Malaysia akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet berhubung kebenaran mendapatkan hak penyiaran siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 kepada peminat tempatan.
Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata bahawa cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini (30 Mei) dan berharap akan mendapat jawapan segera.
"Saya akan bawa isu ini ke Kabinet pada Rabu dan saya harap kita akan dapat jawapan yang memihak pihak kita.
"Bagi saya, ini adalah satu daripada cara bagi kita mempromosi kembali RTM (Radio Televisyen Malaysia). Saya rasa kita perlu melakukannya, kita perlu meningkatkan bilangan penonton RTM.
“Ini acara antarabangsa. Pada saya, cukup penting supaya ia disiarkan secara langsung oleh RTM yang menjadi rangkaian televisyen rasmi," katanya kepada para wartawan selepas melakukan lawatan pertamanya ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama hari ini (28 Mei).
Semalam (27 Mei), Anggota Parlimen Muar yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Abdul Rahman menyuarakan pendapat agar KKMM cuba mencari jalan untuk membawa siaran langsung Piala Dunia 2018 kepada peminat di tanah air.
Perlawanan bola sepak Piala Dunia adalah acara yang berlangsung empat tahun sekali dengan kali ini, Rusia dipilih sebagai tuan rumah.
Sebanyak 32 negara daripada lima konfederasi bola sepak akan berentap di 12 venue bagi merebut piala berprestij itu.
Sejak mula perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 akan diadakan pada 14 Jun membabitkan tuan rumah, Rusia, menentang Arab Saudi dalam perlawanan kumpulan A di Stadium Luzhniki, Moscow, pada pukul 6.00 petang waktu tempatan (11.00 malam waktu Malaysia).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.