Menteri Luar Thailand optimis perbincangan sempadan dengan Kemboja akan capai kemajuan
Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow menyuarakan keyakinan bahawa mesyuarat terbaharu Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) dan Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) akan membawa kemajuan bermakna dalam menyelesaikan isu sempadan yang tertunggak dengan Kemboja.
Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow (tengah) mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan kementeriannya. (Gambar fail: Bernama)
- Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow menyuarakan keyakinan bahawa mesyuarat terbaharu Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) dan Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) akan membawa kemajuan bermakna dalam menyelesaikan isu sempadan yang tertunggak dengan Kemboja.
- Perbincangan di bawah kedua-dua mekanisme itu dijangka berjalan lancar, dengan sesi khas JBC di wilayah Chanthaburi yang bermula Selasa (21 Okt) serta mesyuarat GBC di Kuala Lumpur pada 23 Oktober berkemungkinan menghasilkan pelan kerja terperinci dan kata sepakat mengenai isu sempadan utama.
- Mantan Duta Besar Thailand ke Phnom Penh, Prasas Prasasvinitchai, dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Sekretariat Negara bagi Hal Ehwal Sempadan Kemboja, Lam Chea, bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Khas Suruhanjaya Bersama Thai-Kemboja Mengenai Penetapan Sempadan Darat (JBC) pada Selasa.
- Ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu berhubung sempadan sepanjang 817 kilometer memuncak menjadi konfrontasi ketenteraan pada akhir Julai.
Beliau berkata perbincangan di bawah kedua-dua mekanisme itu dijangka berjalan lancar, dengan sesi khas JBC di wilayah Chanthaburi yang bermula Selasa (21 Okt) serta mesyuarat GBC di Kuala Lumpur pada 23 Oktober berkemungkinan menghasilkan pelan kerja terperinci dan kata sepakat mengenai isu sempadan utama.
Beliau turut berkata perbincangan GBC berhubung deklarasi bersama mengenai hubungan Thailand-Kemboja, yang akan ditandatangani di luar Sidang Puncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, juga berjalan seperti yang dirancang.
“Kami yakin pelan kerja menyeluruh dapat dimuktamadkan dan kedua-dua pihak akan dapat mengadakan perbincangan yang membina serta mencapai persetujuan,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan pada Selasa.
Sementara itu, Mantan Duta Besar Thailand ke Phnom Penh, Prasas Prasasvinitchai, dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Sekretariat Negara bagi Hal Ehwal Sempadan Kemboja, Lam Chea, bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Khas Suruhanjaya Bersama Thai-Kemboja Mengenai Penetapan Sempadan Darat (JBC) pada Selasa.
Kedua-dua pihak turut meneliti Terma Rujukan (TOR) 2003 berkaitan penghasilan peta ortofoto menggunakan teknologi LiDAR, serta mengenal pasti kawasan keutamaan untuk penetapan sempadan yang dipersetujui.
Ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu berhubung sempadan sepanjang 817 kilometer memuncak menjadi konfrontasi ketenteraan pada akhir Julai. Pertempuran dihentikan selepas perjanjian gencatan senjata yang diantarakan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN di Putrajaya pada 28 Julai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.