Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Luar Saudi, Iran dijadual adakan pertemuan bersejarah di Beijing

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Luar Saudi, Iran dijadual adakan pertemuan bersejarah di Beijing

Gambar: Agensi berita

Diterbitkan : 05 Apr 2023 09:22AM Dikemas Kini : 05 Apr 2023 09:25AM
RIYADH: Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan dan rakan sejawatannya dari Iran Hossein Amir Abdollahian akan mengadakan pertemuan bersejarah mereka di Beijing pada Khamis (5 Apr), lapor Saudi Gazette menukil akhbar Asharq Al-Awsat.

Pertemuan di Beijing itu ditetapkan menyusuli tiga perbualan telefon yang dibuat antara kedua-dua menteri tersebut sejak beberapa minggu ini selepas kedua-dua negara memeterai persetujuan, yang dikendalikan China, pada 10 Mac lalu.

Semasa perbualan tersebut, kedua-dua menteri membincangkan beberapa isu utama berkaitan usaha menyambung semula hubungan diplomatik dua hala selepas putus selama tujuh tahun. Ini termasuk langkah-langkah selanjutnya untuk menguatkuasaan perjanjian tersebut, prosedur bagi membuka semula misi diplomatik dan menghidupkan semula perjanjian terdahulu yang dimeterai antara kedua-dua negara sebelum hubungan terputus pada 2016.

Menurut laporan tersebut, Beijing dipilih sebagai tempat untuk mengadakan pertemuan antara Menteri Luar Saudi dan Iran selepas Beijing menawarkan untuk memainkan peranan positif dalam mencapai persetujuan tersebut serta memudahkan perhubungan antara kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan bersama pada 10 Mac, Arab Saudi dan Iran, serta China, mengumumkan bahawa perjanjian tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari. Kenyataan tiga pihak itu menekankan rasa hormat terhadap kedaulatan negara dan tiada campur tangan dalam hal ehwal dalaman masing-masing.

Pemeteraian perjanjian bersejarah bagi menyambung semula hubungan dua hala berlaku setelah beberapa pusingan rundingan antara Arab Saudi dan Iran di Baghdad and Muscat, disusuli dengan pusingan terakhir yang diadakan di Beijing dari 6 hingga 10 Mac.
 
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan