Skip to main content

Dunia

Menteri Luar Saudi gesa Eropah kutuk Israel dengan lebih keras

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Luar Saudi gesa Eropah kutuk Israel dengan lebih keras

(Gambar: Ludovic MARIN / AFP)

Diterbitkan : 06 Jul 2024 11:36AM
MADRID: Putera Faisal bin Farhan, Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, menggesa negara-negara Eropah supaya mengutuk lebih keras tindakan Israel dan mempertimbangkan langkah-langkah yang lebih ketat, seperti mengenakan sekatan ke atas tindakan Israel yang mencabuli hak asasi manusia di Palestin.

Beliau membuat kenyataan itu semasa sesi dialog bertajuk "Wars and Shadow Wars: What are Europe's Options in the Middle East?" sempena mesyuarat Majlis Hubungan Luar Eropah (ECFR) di ibu negara Sepanyol, Madrid pada Khamis (4 Jul), menurut laporan Saudi Gazette. 

Sesi itu membincangkan perkembangan terkini dalam situasi tragis di Carikan Gaza dan pentingnya meneruskan usaha antarabangsa untuk mencapai gencatan senjata segera dan membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki wilayah yang dikepung itu.

Menteri Saudi itu turut menekankan bahawa krisis di Gaza memberi kesan bukan sahaja kepada perjuangan Palestin tetapi seluruh rantau Timur Tengah, di samping menyumbang kepada ketegangan yang semakin meningkat, seperti yang disaksikan di selatan Lubnan.

Putera Faisal menekankan lagi keperluan untuk mencapai gencatan senjata dengan segera, sambil menyatakan bahawa walaupun masyarakat antarabangsa sebahagian besarnya menyokong huraian dua negara kepada konflik Israel-Hamas, ramai yang masih berpeluk tubuh dan ini melemahkan matlamat tersebut.

Beliau juga menekankan betapa pentingnya usaha Eropah, termasuk Sepanyol, dalam menyokong proses damai dan mendorong huraian dua negara, lapor Saudi Gazette. 

Beliau menyeru negara-negara Eropah supaya mengutuk Israel kerana tidak mematuhi komitmennya dan mengambil langkah lebih tegas dan keras, termasuk mengenakan sekatan, untuk menyokong usaha Palestin menubuhkan sebuah negara yang berdaya maju, merdeka dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Putera Faisal turut menyentuh situasi di Yaman, sambil menekankan sokongan berterusan untuk mengadakan dialog politik dan keperluan untuk memperbaiki keadaan ekonomi yang sukar di negara itu, menurut laporan Saudi Gazette. 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita