Menteri Luar Saudi adakan rundingan ekonomi di Syria
Putera Faisal bin Farhan di Damsyik. (Gambar: Anadolu Agency)
DAMSYIK: Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan tiba di Damsyik pada Sabtu (31 Mei) bersama delegasi ekonomi bagi rundingan mengenai cara menyokong ekonomi Syria yang dibelenggu perang, menurut pihak berkuasa.
Arab Saudi adalah salah satu penaung serantau paling penting bagi pemerintah baharu Syria, yang mengambil alih selepas Bashar al-Assad diguling pada Disember 2024, selepas hampir 14 tahun negara itu melalui perang saudara.
Semasa lawatan ke Riyadh awal bulan ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau akan menarik balik sekatan Amerika ke atas Syria, satu keputusan yang membuka laluan kepada pemulihan ekonomi di negara yang dibebani oleh perang itu.
Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani menyambut kedatangan Putera Faisal, yang "mengetuai delegasi peringkat tinggi", setibanya beliau di lapangan terbang Damsyik, menurut satu kenyataan kementerian luar Syria.
Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan sidang media pada sebelah petang.
Menurut kenyataan oleh Kementerian Luar Arab Saudi, Putera Faisal akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria Ahmed al-Sharaa.
Sementara itu, "delegasi ekonomi peringkat tinggi" akan mengadakan perbincangan dengan para pegawai Syria tentang kerjasama "yang menyumbang bakti kepada ekonomi Syria dan mengukuhkan penubuhan semula institusi negara itu".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.