Skip to main content

Dunia

Menteri Luar Malaysia akan bayar kompaun, merokok di tempat larangan

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Luar Malaysia akan bayar kompaun, merokok di tempat larangan

(Gambar: Facebook/Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan)

Diterbitkan : 18 Dec 2024 02:54PM Dikemas Kini : 18 Dec 2024 02:56PM
PUTRAJAYA: Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan pada Rabu (18 Dis) tampil mengakui kesilapannya merokok di tempat larangan dalam kejadian yang tular pada Selasa.

Beliau turut memohon maaf dan memaklumkan akan membayar kompaun yang bakal dikenakan oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lapor Astro Awani.

"Pagi tadi saya telah menerima kedatangan Pegawai Kesihatan Daerah Seremban kerana saya tidak balik ke Seremban.

"Saya minta mereka kalau boleh datang sebab esok saya akan ke Bangkok. Mereka datang dan saya menerima notis kompaun tersebut.

"Notis kompaun ini akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menetapkan kompaun itu berapa dan bila untuk mengambil tindakan selanjutnya," kata Encik Mohamad.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Malaysia kepada Palestin di bawah Inisiatif Kerajaan Jordan pada Rabu.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Malaysia Dzulkefly Ahmad menerusi platform media sosial X, memaklumkan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban diberi kuasa untuk berjumpa dan menyerahkan notis kesalahan kepada Encik Mohamad.

Encik Dzulkefly berkata, pihaknya berpegang kepada prinsip bahawa tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang.

Menurut laporan Astro Awani, pejabat Menteri Luar Malaysia sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, tular gambar Encik Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat, sedang memegang sebatang rokok ketika duduk bersama sekumpulan lelaki di premis awam dipercayai sebuah restoran.

Perbuatan itu jelas melanggar Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). Peraturan 11 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 menyatakan bahawa sesiapa yang didapati bersalah merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 (S$3,000) atau penjara maksimum dua tahun.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita