Skip to main content

Dunia

Menteri luar Korea Utara lakukan lawatan rasmi ke Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri luar Korea Utara lakukan lawatan rasmi ke Rusia

Menteri Luar Korea Utara, Choe Son Hui, di Mosko pada 16 Jan 2024. (Gambar fail: Sputnik/Artem Geodakyan/Pool melalui REUTERS)

Diterbitkan : 19 Jul 2026 02:54PM
MOSCOW: Diplomat tertinggi Korea Utara terbang ke Mosko untuk berbincang dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergey Lavrov, lapor media pemerintah pada Ahad (19 Jul).

Choe Son Hui dan rombongannya berlepas dari Pyongyang ke Rusia dengan menaiki "pesawat peribadinya" pada 18 Julai, lapor Agensi Berita Pusat Korea yang dikendalikan oleh pemerintah.

Kementerian Luar Rusia sebelum ini telah mengumumkan lawatan utusan sekutunya itu, yang memberi sokongan padu kepada Mosko dalam perang ke atas Ukraine.

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian pertahanan apabila Presiden Rusia Vladimir Putin melawat Pyongyang pada tahun 2024.

Korea Utara telah menghantar peluru berpandu, bekalan peluru dan beribu-ribu askarnya untuk membantu Rusia di Ukraine. Menurut para penganalisis, sebagai balasan, Mosko menghantar bantuan kewangan, teknologi ketenteraan, makanan dan bekalan tenaga ke Korea Utara.

Pada April, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berikrar untuk membantu Rusia memenangi perang "suci" mereka.

Menteri Pertahanan Rusia Andrei Belousov dan beberapa pegawai tinggi lain melawat Pyongyang pada April lalu untuk berbincang mengenai usaha mengukuhkan hubungan ketenteraan antara kedua-dua pihak.

Encik Belousov berkata Mosko bersedia untuk menandatangani pelan kerjasama untuk tempoh 2027 hingga 2031.

Korea Selatan dan Kesatuan Eropah telah mengutuk kerjasama antara kedua-dua negara itu.

Kementerian Luar Korea Utara telah membalas, dengan menyatakan bahawa kerjasama dengan Rusia adalah "pelaksanaan hak berdaulat".
Sumber : AFP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita