Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Luar Iran letak jawatan

Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif, perunding utama bagi perjanjian nuklear 2015, mengumumkan peletakan jawatannya menerusi Instagram pada Isnin (25 Feb), namun ia hanya akan berkuat kuasa setelah Presiden Hassan Rouhani menerima peletakan jawatan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Luar Iran letak jawatan

Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif, semasa Persidangan Keselamatan Munich di Jerman pada 17 Februari 2019. (Gambar fail: Andreas Gebert/Reuters)

Diterbitkan : 26 Feb 2019 09:49AM Dikemas Kini : 26 Feb 2019 09:55AM

TEHRAN: Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif, perunding utama bagi perjanjian nuklear 2015, mengumumkan peletakan jawatannya menerusi Instagram pada Isnin (25 Feb), namun ia hanya akan berkuat kuasa setelah Presiden Hassan Rouhani menerima peletakan jawatan itu.

"Saya meminta maaf kerana tidak lagi berupaya untuk terus berkhidmat dan atas segala kekurangan semasa penggal saya," kata Dr Zarif dalam satu mesej yang dimuatnaikkan ke Instagramnya.

Dalam mesej itu, Dr Zarif mengucapkan terima kasih kepada rakyat Iran dan "para pegawai yang dihormati" atas sokongan mereka "sepanjang 67 bulan lalu".

Peletakan jawatan diplomat kanan Iran itu disahkan oleh sumber yang dimaklumkan mengenai perkara tersebut. Menerusi satu catatan di laman Twitternya, Ketua Turus Presiden Rouhani bagaimanapun menolak laporan-laporan bahawa presiden negara itu sudah menerima peletakan jawatan Dr Zarif.

Dr Zarif meletakkan jawatan beberapa jam selepas Presiden Syria Bashar Al-Assad melakukan lawatan mengejut ke Tehran. Namun menurut agensi berita ISNA, Dr Zarif tidak menghadiri sebarang mesyuarat yang diadakan antara Encik Assad, pemimpin agama Iran Ayatollah Ali Khamanei dan Presiden Rouhani.

Anggota-anggota parlimen utama dengan segera menggesa Presiden Rouhani supaya jangan menerima peletakan jawatan itu.

"Rakyat dan pemerintah Iran pastinya tidak akan meraih manfaat daripada peletakan jawatan ini," kata Mostafa Kavakebian, seorang Anggota Parlimen (AP).

"Sebahagian besar AP menuntut agar presiden tidak menerima peletakan jawatan itu," katanya dalam satu catatan Twitter.

Ketua suruhanjaya keselamatan negara dan dasar ehwal luar parlimen Iran memberitahu ISNA bahawa satu lawatan ke Geneva bersama Dr Zarif yang dijadualkan pada sebelah tengah hari Isnin (25 Feb) dibatalkan pada saat-saat akhir tanpa sebarang penjelasan.

"Saya tiba-tiba menerima kiriman teks yang menyatakan bahawa lawatan itu sudah dibatalkan," kata Heshmatollah Falahatpisheh kepada ISNA. Beliau menambah bahawa ini bukanlah kali pertama Dr Zarif meletak jawatan, namun "kali ini, beliau melakukan secara terbuka dan ini bermakna beliau mahu presiden untuk menerima peletakan jawatan tersebut."

Dr Zarif, 59 tahun, berkhidmat sebagai menteri luar Iran sejak Ogos 2013. Beliau bagaimanapun sering tertekan dan dikritik oleh para penyokong tegar yang membantah dasar-dasar bagi mengendurkan ketegangan dengan negara-negara Barat.

Kedudukannya dalam kalangan ahli politik Iran terjejas apabila Amerika Syarikat mengundurkan diri daripada perjanjian nuklear pada Mei 2018, dengan kemajuan pada perjanjian itu menjadi kurang jelas sedang ekonomi Iran menjunam.

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan