Skip to main content

Dunia

Menteri Luar Iran bertemu ketua IAEA jelang rundingan nuklear

Menteri Luar Iran bertemu ketua badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin (16 Feb), menjelang rundingan antara Washington dan Tehran yang bertujuan menghuraikan pertikaian nuklear, dengan beberapa tanda jelas yang menunjukkan sikap tolak ansur daripada kedua-dua pihak, biarpun terus dibayangi ancaman tindakan ketenteraan Amerika Syarikat.
Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Luar Iran bertemu ketua IAEA jelang rundingan nuklear
Menteri Luar Iran (kanan) bertemu Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Geneva, Switzerland, pada 16 Februari 2026. (Gambar: REUTERS/Kementerian Luar Iran/WANA (Agensi Berita Timur Tengah))
Diterbitkan : 17 Feb 2026 07:49AM Dikemas Kini : 17 Feb 2026 07:59AM
DUBAI: Menteri Luar Iran bertemu ketua badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin (16 Feb), menjelang rundingan antara Washington dan Tehran yang bertujuan menghuraikan pertikaian nuklear, dengan beberapa tanda jelas yang menunjukkan sikap tolak ansur daripada kedua-dua pihak, biarpun terus dibayangi ancaman tindakan ketenteraan Amerika Syarikat.

Washington, yang menyertai Israel dalam gelombang serangan udara ke atas Iran pada Jun, sebelum ini mengarahkan satu lagi kumpulan kapal induk ke Timur Tengah dalam kebuntuan terbaharunya dengan Tehran, di samping kapal perang dan pesawat Amerika Syarikat lain yang sudah dikerahkan.

Menambahkan lagi ketegangan, Iran memulakan latihan ketenteraan pada Isnin di Selat Hormuz, sebuah laluan perairan antarabangsa penting yang juga merupakan laluan eksport minyak dari negara-negara Arab Teluk, yang merayu agar diplomasi menamatkan pertikaian tersebut.

Amerika Syarikat dan Iran menyambung semula rundingan awal bulan ini dengan harapan untuk menangani pertikaian selama berdekad-dekad berhubung program nuklear Tehran, yang menurut Washington, negara Barat lain serta Israel bertujuan membangunkan senjata nuklear. Tehran menafikan perkara itu.

Harga minyak hampir tidak berubah pada Isnin, dengan para pelabur mempertimbangkan implikasi pasaran daripada rundingan Amerika Syarikat-Iran yang akan datang bagi meredakan ketegangan, di tengah-tengah jangkaan peningkatan bekalan OPEC+.

SKOP RUNDINGAN DILUASKAN UNTUK MERANGKUMI STOK PELURU BERPANDU

Namun, Washington berusaha meluaskan skop rundingan kepada isu bukan nuklear seperti stok peluru berpandu Iran. Tehran menyatakan ia hanya bersedia untuk membincangkan sekatan terhadap program nuklearnya sebagai pertukaran bagi pelepasan sekatan, dan tidak akan menghentikan pengayaan uraniumnya. Iran turut menegaskan bahawa keupayaan peluru berpandunya tidak boleh dirundingkan.

Bercakap semasa lawatan ke Hungary pada Isnin, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio berkata mencapai perjanjian dengan Tehran adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan.

“Saya rasa ada peluang untuk mencapai perjanjian secara diplomatik bagi menangani perkara yang kami bimbangkan. Kami akan sangat terbuka dan mengalu-alukannya. Tetapi saya juga tidak mahu membesar-besarkannya. Ia akan menjadi sukar. Ia amat sukar bagi sesiapa pun untuk mencapai perjanjian sebenar dengan Iran kerana kami berurusan dengan ulama Syiah radikal yang membuat keputusan teologi, bukan geopolitik.”

Menteri Luar Iran Abbas Araqchi berkata beliau berada di Geneva untuk “mencapai perjanjian yang adil dan saksama”.

“Apa yang tidak dirundingkan: tunduk kepada ancaman,” kata Encik Araqchi di platform X.

Iran berulang kali mengancam untuk menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap sebarang serangan, yang akan menjejaskan satu perlima aliran minyak global dan melonjakkan harga minyak mentah dengan mendadak.

Laluan perairan itu menghubungkan pengeluar minyak utama Teluk seperti Arab Saudi, Iran, Iraq dan Amiriah Arab Bersatu dengan Teluk Oman serta Laut Arab.

Pengawal Revolusi Iran menjalankan latihan yang digelar “Kawalan Bijak Selat Hormuz” untuk menguji kesiapsiagaan unit tentera lautnya untuk melindungi laluan perairan tersebut, menurut agensi berita separa rasmi Tasnim pada Isnin.

“Memanfaatkan secara bijak kelebihan geopolitik Republik Islam di Teluk Parsi dan Laut Oman adalah antara objektif utama latihan ini,” menurut Tasnim.

Pertubuhan pertahanan awam Iran turut mengadakan latihan pertahanan kimia di Zon Tenaga Ekonomi Khas Pars pada Isnin bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan terhadap kemungkinan insiden kimia di hab tenaga di selatan Iran itu.

Timbalan Menteri Luar Majid Takht-Ravanchi pada Ahad memberi isyarat bahawa Iran bersedia untuk berkompromi berhubung program nuklearnya sebagai pertukaran bagi pelepasan sekatan, sambil memberitahu BBC bahawa keputusan kini “di tangan Amerika” untuk membuktikan bahawa mereka mahu mencapai suatu perjanjian.

Sebelum Amerika Syarikat menyertai Israel menyerang tapak nuklear Iran pada Jun, rundingan nuklear Iran-Amerika Syarikat terbantut disebabkan oleh tuntutan Washington agar Tehran menghentikan pengayaan di wilayahnya, yang dilihat Amerika Syarikat sebagai laluan kepada senjata nuklear Iran.

Iran menyatakan program nuklearnya hanya untuk tujuan awam dan bersedia meredakan kebimbangan mengenai senjata nuklear dengan “membina kepercayaan bahawa pengayaan adalah dan akan kekal bagi tujuan aman”.

Kementerian Luar Iran menyatakan Encik Araqchi sudah membincangkan kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), serta pandangan teknikal Tehran berhubung rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat semasa pertemuannya dengan ketua IAEA Rafael Grossi.

IAEA MAHU PENJELASAN BERHUBUNG URANIUM YANG DIPERKAYA

IAEA sejak beberapa bulan lalu menggesa Iran untuk menjelaskan apa yang berlaku terhadap stok 440 kilogram uranium diperkaya tinggi berikutan serangan Israel-Amerika Syarikat, serta membenarkan pemeriksaan disambung dengan sepenuhnya, termasuk di tiga tapak utama yang dibom pada Jun 2025: Natanz, Fordow dan Isfahan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada Ahad beliau memberitahu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump minggu lalu bahawa sebarang perjanjian Amerika Syarikat dengan Iran mesti merangkumi pembongkaran infrastruktur nuklear Iran, bukan sekadar menghentikan proses pengayaannya.

Encik Netanyahu berkata beliau bersikap skeptikal terhadap sebarang perjanjian tetapi ia mesti melibatkan bahan diperkaya dibawa keluar dari Iran. “Tidak akan ada keupayaan pengayaan — bukan menghentikan proses pengayaan, tetapi membongkar peralatan dan infrastruktur yang membolehkan anda melakukan pengayaan pada asasnya,” kata beliau.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita