Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Luar China bincang usaha kembangkan hubungan dua hala dengan Britain

Anggaran Waktu Membaca:
BEIJING: China dan Britain wajar menjalankan serta meningkatkan pertukaran lawatan yang normal dalam pelbagai bidang dan kedua-dua negara diyakini mampu mendepani gangguan, mempamerkan kedinamikan serta berkembang ke arah lebih cerah, kata Menteri Luar China, Wang Yi.

Encik Wang yang juga Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China berkata demikian dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya dari Britain, James Cleverly pada Rabu (30 Ogos).

Kata beliau, China sentiasa mementingkan kedudukan Britain sebagai sebuah negara besar dan peranannya yang istimewa, serta kekal komited untuk mengembangkan hubungan dua hala yang stabil dan saling menguntungkan.

Encik Wang turut berpandangan bahawa kerjasama China-Britain kekal berpengaruh di peringkat global, manakala dialog dan kerjasama merupakan kunci, serta pilihan utama dasar China terhadap Britain.

"Tatkala berhadapan situasi antarabangsa yang tidak menentu, China dan Britain selaku anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu bertanggungjawab sebagai negara besar untuk bekerjasama mengatasi cabaran sejagat, serta menjaga kedamaian dan kestabilan dunia.

"Sebagai rakan strategik komprehensif, kita (China-Britain) sepatutnya menghargai sumbangan pemimpin kedua-dua negara dan pelbagai lapisan masyarakat, serta mendorong hubungan dua hala berkembang ke depan," kata beliau.

Tambah Encik Wang, kedua-dua negara dengan ekonomi yang besar itu juga sepatutnya mempertingkatkan penyelarasan dasar makro bagi menyuntik momentum kepada pemulihan ekonomi dunia.

"Selain itu, kedua-dua pihak diharap akan dapat meningkatkan pertukaran lawatan dan saling mempelajari, menjalankan dialog tamadun untuk berperanan konstruktif bagi mengurangkan perselisihan dan konflik antara manusia," kata Menteri Luar itu.

Dalam pertemuan itu, Encik Wang turut menyatakan pendirian China berkait isu Taiwan dan berharap Britain menghormati kepentingan teras China serta dasar Satu China.

Encik Cleverly dalam ucapannya, menghargai pencapaian China dalam usaha membasmi kemiskinan, mewujudkan kemakmuran negara dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara lain dan dunia.

Beliau menganggap hubungan dua hala yang kondusif bukan sahaja memberi galakan kepada rakyat kedua-dua negara, bahkan juga dunia.

"Pendirian kerajaan Britain dalam masalah Taiwan juga tidak berubah iaitu mengakui dasar Satu China.

"Britain komited untuk meningkatkan komunikasi dengan China, bertindak dengan aktif untuk menyelesaikan masalah dan menambah persefahaman.

"Perusahaan dari Britain juga berharap dapat menjalankan lebih banyak kerjasama dengan China," kata Encik Cleverly.

Beliau turut berpandangan bahawa pemerintah kedua-dua negara harus berusaha untuk mengeratkan hubungan ekonomi dan perdagangan, meningkatkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi, kecerdasan buatan (AI), serta sumber tenaga hijau.

Difahamkan, kedua-dua pihak saling bertukar-tukar pendapat mengenai urusan serantau dan antarabangsa termasuk krisis Ukraine dan isu nuklear Semenanjung Korea.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan