Skip to main content

Dunia

Menteri Luar baharu Thailand gesa kurangkan tentera di sempadan Kemboja

Thailand dan Kemboja perlu mengurangkan kehadiran tentera di sempadan yang dikongsi bersama dan bekerjasama untuk meredakan ketegangan, kata Menteri Luar baharu Thailand kepada wartawan pada Khamis (25 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Luar baharu Thailand gesa kurangkan tentera di sempadan Kemboja

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, bercakap kepada media di Kementerian Luar di Bangkok, Thailand pada 25 September 2025. (Gambar: REUTERS/Athit Perawongmetha)

Diterbitkan : 25 Sep 2025 04:59PM Dikemas Kini : 25 Sep 2025 05:16PM
BANGKOK: Thailand dan Kemboja perlu mengurangkan kehadiran tentera di sempadan yang dikongsi bersama dan bekerjasama untuk meredakan ketegangan, kata Menteri Luar baharu Thailand kepada wartawan pada Khamis (25 Sep).

Encik Sihasak Phuangketkeow mengangkat sumpah jawatan secara rasmi pada Rabu, bersama Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.

Encik Sihasak turut menekankan kepentingan mengekalkan gencatan senjata yang dipersetujui Thailand dan Kemboja berikutan konflik berdarah selama lima hari pada Julai.

Bercakap kepada para wartawan pada hari pertama beliau memegang jawatan sebagai Menteri Luar, Encik Sihasak menyatakan bahawa keutamaan beliau adalah untuk memelihara keamanan antara dua negara berjiran di Asia Tenggara itu.

Beliau turut menambah bahawa kedua-dua negara perlu melaksanakan tindakan bersama yang dipersetujui semasa dialog awal bulan ini, termasuk mengurangkan jumlah tentera, melakukan kerja-kerja pembersihan ranjau letupan darat (landmine) dan membanteras kegiatan haram.

“Keamanan memerlukan usaha mengurangkan tentera seperti pengunduran senjata berat dari kawasan sempadan untuk mengurangkan risiko keganasan,” kata Encik Sihasak.

“Kami telah bersetuju dengan perkara ini secara prinsip, tetapi apa yang perlu kami lihat sekarang ialah kemajuan,” kata beliau.

Thailand dan Kemboja selama lebih satu abad mempertikaikan kedaulatan di beberapa kawasan sempadan yang belum ditandakan dengan jelas, yang pertama kali dipetakan oleh Perancis pada 1907 semasa Kemboja masih menjadi sebahagian daripada tanah jajahan negara itu.

Ketegangan mengenai kawasan yang dipertikaikan mencetuskan konflik bersenjata pada Julai, termasuk penggunaan meriam dan serangan jet pejuang.

Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dan ratusan ribu penduduk dipindahkan buat sementara waktu, dalam pertempuran paling sengit antara kedua-dua negara itu dalam tempoh lebih sedekad.

Pertempuran tersebut berakhir selepas kedua-dua negara mencapai gencatan senjata yang diantarakan oleh Malaysia pada 28 Julai, dan kawasan sempadan secara amnya kekal tenang sejak itu, biarpun ketegangan masih berlarutan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita