Menteri Luar baharu Israel anggap tubuh negara Palestin 'tidak realistik'
Menteri Luar Israel Gideon Saar pada Isnin (11 Nov) menolak penubuhan negara Palestin sebagai suatu matlamat yang "realistik" selepas pemimpin Palestin Mahmud Abbas mengulangi komitmennya kepada penubuhan sebuah negara "berdaulat".
"Saya tidak fikir pendirian ini realistik hari ini dan kita mesti bersikap realistik," kata menteri yang baru dilantik itu semasa menjawab pertanyaan mengenai penubuhan negara Palestin sebagai pertukaran untuk memulihkan hubungan antara Israel dengan negara-negara Arab.
Usaha untuk memulihkan hubungan adalah sebahagian daripada Perjanjian Abraham 2020 yang diselia oleh Donald Trump, dan proses itu boleh disambung semula selepas mantan presiden Amerika Syarikat itu kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025.
Sebuah negara Palestin akan menjadi "negara Hamas", kata Encik Saar mengenai kumpulan tersebut di Gaza yang telah berperang dengan Israel selama lebih setahun.
Encik Abbas, dalam ulasan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Palestin, Wafa, berkata pada Ahad bahawa "keselamatan dan kestabilan" hanya boleh dicapai dengan penubuhan "kedaulatan dan kemerdekaan di negara Palestin".
Pemimpin Penguasa Palestin itu berkata demikian semasa berucap menjelang ulang tahun ke-20 kematian pemimpin ikonik Palestin, Yasser Arafat.
Encik Abbas juga menegaskan desakannya untuk mencapai "keamanan, dan kami akan terus berusaha untuk mencapainya".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.