Menteri Luar ASEAN suarakan kebimbangan selepas ketegangan kembali memuncak di Timur Tengah
Menteri-Menteri Luar ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah serta ancaman penipuan online dan jenayah rentas sempadan yang kian meningkat.
Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn (tiga dari kanan), berkata Menteri-Menteri Luar ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan di Timur Tengah dan ancaman jenayah rentas sempadan. (Gambar: REUTERS)
Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn berkata perkara itu dibincangkan semasa sesi perbincangan tahunan Menteri-Menteri Luar ASEAN di Manila.
Menurut beliau, para menteri turut meneliti perkembangan geopolitik, isu keselamatan serantau dan situasi di Timur Tengah.
SERU DIALOG, LINDUNGI ORANG AWAM
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, para menteri menggesa agar dialog diteruskan bagi meredakan ketegangan.
Mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan di Gaza dan menegaskan semula kepentingan melindungi orang awam selaras dengan undang-undang antarabangsa.
PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU
Encik Kao berkata ASEAN juga bersetuju untuk memperkukuh penyelarasan menerusi sistem keselamatan serantau bagi mengurangkan kesan ketegangan terhadap Asia Tenggara, khususnya melibatkan keselamatan tenaga dan makanan, rantaian bekalan serta keselamatan rakyat ASEAN di rantau berkenaan.
Selain itu, para menteri mengenal pasti penipuan online dan jenayah terancang rentas sempadan sebagai antara cabaran paling mendesak.
Menurut Encik Kao, kegiatan jenayah yang semakin canggih turut menyumbang kepada peningkatan kes pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram serta penyalahgunaan teknologi digital rentas sempadan.
Beliau menegaskan kerjasama lebih erat diperlukan, bukan sahaja dalam kalangan negara anggota ASEAN, malah bersama rakan dialog ASEAN.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.