Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Luar ASEAN kecam tindakan ahli politik tegar bakar Al-Quran

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Menteri-Menteri Luar ASEAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau di negara tertentu yang membakar dan mencemarkan kitab suci al-Quran bulan lalu.

“Tindakan ini telah menyakiti dan mencemarkan toleransi beragama,” menurut kenyataan Pengerusi Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN dan Retreat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Ahad (5 Feb).

Perhimpunan tahunan menteri-menteri luar ASEAN menegaskan bahawa kebebasan bersuara mesti dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab.

Mereka mengesahkan komitmen ASEAN untuk terus menggalak dialog dan persefahaman serta kewujudan bersama secara aman dan harmoni dalam masyarakat global yang rencam.

Pada 21 Januari, Rasmus Paludan, ketua parti sayap kanan Denmark, Stram Kurs bertindak membakar salinan al-Quran di hadapan sebuah masjid di Denmark, beberapa hari selepas dia membakar al-Quran di luar Kedutaan Turki di Sweden.

Dalam provokasi lain, Edwin Wagensveld, ketua kumpulan Islamofobia Pegida, turut membakar halaman al-Quran di The Hague pada 22 Januari hingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, menteri-menteri luar juga menyuarakan kebimbangan mengenai ujian peluru berpandu balistik rentas benua Korea Utara dan pelancaran peluru berpandu balistik baru-baru ini.

Menteri-menteri luar menekankan betapa pentingnya dialog secara aman yang berterusan diadakan demi merealisasikan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Semenanjung Korea.

“Kami menggesa semua pihak yang berkaitan untuk mengelakkan sebarang perbuatan dan tindak balas ketenteraan yang boleh meningkatkan ketegangan,” menurut menteri-menteri luar itu.

Situasi di Laut China Selatan juga dibincangkan termasuk berkaitan tebus guna tanah, perkembangan terkini dan insiden serius yang menghakis kepercayaan dan keyakinan.

Menteri-menteri luar turut menegaskan keperluan untuk meneruskan penyelesaian secara aman berhubung pertikaian itu di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-Undang Laut.
Sumber : Bernama/HY/hy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan