Menteri Komunikasi & Digital M'sia beri tempoh 24 jam supaya mohon maaf atas fitnah berkempen dalam masjid
Gambar: Bernama
SHAH ALAM: Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi Fadzil memberi tempoh 24 jam kepada dua individu yang melontarkan fitnah kononnya beliau menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang baru-baru ini supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu berkata notis tuntutan sudah dihantar oleh peguamnya kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abdul Rani dan pentadbir laman Facebook 'N13 Kuang' pada petang Rabu (2 Ogos).
Encik Fahmi berkata notis itu bagi membersihkan namanya daripada tuduhan mengadakan ceramah di masjid sedangkan beliau hanya menjelaskan tindakan mengharamkan kugiran muzik The 1975 seperti diminta oleh ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di sana.
"Masa itu ada orang tangkap gambar dan tulis saya ceramah tanpa tauliah, berpolitik dan kempen di dalam masjid sedangkan ia bukan begitu.
"Alhamdulillah, petang tadi Ketua Polis Selangor mengumumkan setelah 22 saksi disiasat, beliau kata saya, Fahmi Fadzil, tidak bersalah," katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis pada Rabu.
Beliau berkata notis itu, antara lain, adalah bagi menunjukkan bahawa perbuatan memfitnah tidak boleh sama sekali dikompromi terutama dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan tidak ada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Encik Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Ahad lalu (30 Jul).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.