Menteri Kewangan Yaman dilantik sebagai Perdana Menteri baharu
Majlis Kepimpinan Presiden (PLC) Yaman pada Sabtu (3 Mei) melantik Menteri Kewangan Salem Saleh Braik sebagai perdana menteri baharu negara itu susulan peletakan jawatan Ahmed Awad Mubarak, lapor Xinhua.

Mantan Perdana Menteri Ahmed Awad Mubarak meletak jawatan pada 3 Mei. (Gambar: Pool melalui REUTERS/Maxim Shipenkov)
Menurut agensi berita rasmi Saba, keputusan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Encik Ahmed Awad meletak jawatan dengan alasan kekangan perlembagaan dan halangan terhadap usaha reformasinya.
Encik Salem Saleh memegang jawatan Menteri Kewangan sejak 2019 dan sebelum itu berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam sektor kewangan dan pentadbiran sepanjang kerjayanya.
Kenyataan rasmi turut memaklumkan bahawa semua menteri sedia ada akan mengekalkan portfolio masing-masing, manakala Encik Ahmed Awad akan dilantik sebagai penasihat kepada Presiden PLC.
Dalam kenyataan mengumumkan peletakan jawatannya, Encik Ahmed Awad menyatakan beliau menghadapi “pelbagai kesukaran” termasuk ketidakupayaan untuk melakukan rombakan dalam pemerintahannya dan melaksanakan reformasi penting akibat kekangan kuasa perlembagaan.
Encik Ahmed Awad, yang mula menyandang jawatan perdana menteri pada Februari 2024, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar dan Duta Yaman ke Amerika Syarikat.
Yaman terjerumus dalam konflik sejak 2014 apabila kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa, memaksa pemerintah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa memindahkan operasinya ke Aden.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.