Menteri Kewangan M'sia dikritik hebat kerana guna bahasa Mandarin
Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kata Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng. (Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kata Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng.
Beliau berkata dakwaan bahawa Bahasa Mandarin menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kementerian adalah tidak benar dan ia boleh dibuktikan melalui laman web rasmi kementerian itu.
Menurutnya, kenyataan rasmi dalam Bahasa Melayu hanya akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemah ke dalam Bahasa Mandarin jika ada keperluan terutama apabila melibatkan terma-terma teknikal.
"Pendirian mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak pernah dipertikaikan," jelasnya.
Gambar kenyataan media Kementerian Kewangan dalam bahasa Mandarin tular di media sosial dengan sesetengah pihak mendakwa kononnya kementerian itu lebih mengutamakan bahasa Mandarin.
Bagaimanapun, Encik Lim berkata beliau akan menggunakan bahasa lain dalam akaun media sosialnya dan Bahasa Mandarin dalam komunikasi bersama akhbar Cina.
PM MAHATHIR: "ISU PERKARA KECIL"
Meski kenyataan Bahasa Mandarin itu mengundang reaksi negatif pelbagai pihak, ia disifatkan sebagai kesilapan kecil oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata adalah menjadi perkara biasa apabila segelintir individu melakukan kesilapan dan ia tidak perlu dijadikan isu besar.
"...beliau (Lim) tersilap, beliau bukan sengaja. Beliau boleh mengeluarkan kenyataan seperti biasa dengan keupayaannya sebagai menteri," kata Dr Mahathir semalam (25 Jun).
Encik Lim dilaporkan mempertahan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange pada Khamis lalu (21 Jun).
Bagaimanapun, kenyataan dalam Facebook untuk mempertahankan kenyataan tiga bahasa itu dikeluarkan hanya dalam Bahasa Mandarin kelmarin (24 Jun).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.