Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri kesihatan Sri Lanka dipecat galak guna sihir lawan COVID-19

Menteri itu minum 'ubat sihir' dan tuang 'air jampi' ke dalam sungai, konon sebagai usaha lawan COVID-19. Beliau sendiri akhirnya masuk ICU akibat koronavirus.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri kesihatan Sri Lanka dipecat galak guna sihir lawan COVID-19

Gambar hiasan botol-botol yang diisi cecair tidak dikenali. (Gambar: Rodnae Productions/PEXELS)

Diterbitkan : 16 Aug 2021 09:03PM Dikemas Kini : 16 Aug 2021 09:11PM

COLOMBO: Presiden Sri Lanka pada Isnin (16 Ogos) melucutkan menteri kesihatan yang secara terbuka menggalak penggunaan ramuan sihir dan jampi untuk memerangi COVID-19, ketika jumlah jangkitan dan kematian koronavirus terus melonjak ke tahap rekod.

Pejabat Presiden Gotabaya Rajapaksa mengumumkan portfolio kesihatan Pavithra Wanniarachchi diserahkan kepada Menteri Media Keheliya Rambukwella, yang juga jurucakap pemerintah.

Wanniarachchi berada di bawah jagaan rapi pada Januari setelah dijangkiti virus itu walaupun secara terbuka mengakui mengamalkan pengambilan serta menggalak "ubat ajaib" untuk COVID-19 yang dibuat oleh seorang tukang sihir.

Beliau juga menuangkan sebotol air "jampi" ke dalam sungai pada November selepas seorang lelaki yang mendakwa dirinya "orang alim", memberitahunya tindakan tersebut akan menamatkan pandemik di negara kepulauan yang mempunyai 21 juta penduduk itu.

Kementerian kesihatan Sri Lanka di bawah Wanniarachchi dikritik hebat minggu lalu kerana mengambil ringan jangkitan koronavirus.

Walaupun diturunkan pangkat, beliau akan kekal berada dalam kabinet - setelah diberi jawatan di kementerian pengangkutan yang dianggap kurang penting.

Angka kematian harian akibat koronavirus mencecah 150 sejak minggu lalu, dengan tempat membakar mayat berdepan kesesakan luar biasa.

Jumlah jangkitan harian melepasi 3,000, dan dengan hospital bergelut untuk menanganinya, pekerja kesihatan pemerintah sendiri berkata jumlah jangkitan sebenarnya mungkin tiga kali ganda lebih tinggi.

Pemerintah setakat ini menolak permintaan untuk melaksanakan langkah penutupan penuh bagi mengekang lonjakan kes, tetapi minggu lalu mengetatkan sekatan.

Acara perkahwinan dan pesta dilarang mulai Selasa, sementara upacara negara dan perjumpaan awam juga dilarang hingga 1 September.

Kedai dan restoran perlu mengikuti perintah berkurung malam bermula Isnin.

Sumber : AFP/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa