Skip to main content

Dunia

Menteri Kesihatan M'sia ke Thailand, teroka potensi ganja, ketum dalam bidang kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
BANGKOK: Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin memulakan lawatan kerja empat hari ke Thailand untuk meneroka potensi penggunaan ganja dan ketum dalam bidang kesihatan serta menghadiri Mesyuarat Peringkat Tertinggi Kesihatan dan Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bangkok.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada pukul 4.08 petang (waktu tempatan) pada Isnin (22 Ogos) dan disambut Duta Malaysia ke Thailand, Jojie Samuel serta wakil Menteri Kesihatan Awam Thailand, Watcharapong Kuwijitwan dan Pengarah Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (HSRI), Nopporn Cheanklin.

Lawatan itu atas undangan Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul.

Encik Khairy dijadual melawat Pejabat Farmaseutikal Kerajaan (GPO) pada Selasa (23 Ogos) untuk mendengar taklimat mengenai dasar ganja di negara itu termasuk amalan, kaedah penanaman, kajian serta penggunaan ganja dan ketum bagi tujuan kesihatan di Thailand.

Thailand adalah negara pertama di Asia Tenggara yang memberi kelonggaran undang-undang dan membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

“Lawatan bilateral kesihatan ini juga akan menjadi platform terbaik Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) untuk pendedahan dan penelitian berhubung kajian-kajian antarabangsa berkaitan ganja dan ketum termasuk hasil dapatan ujian-ujian klinikal ganja untuk tujuan kesihatan.

“Melalui lawatan bilateral ini, KKM berpeluang meneroka potensi penggunaan ganja dan ketum dalam bidang kesihatan serta merangka strategi kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaannya,” menurut Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan pada Isnin (22 Ogos).

Selain itu, kunjungan berkenaan membuka peluang kolaborasi peringkat antarabangsa untuk entiti swasta atau penyelidikan menjalankan kajian serta ujian klinikal ke atas ganja dan ketum, membangunkan inovasi perubatan dan seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di Malaysia.

Encik Khairy dijangka akan mengadakan pertemuan dengan pemain utama industri ganja dan ketum di Thailand selain mengunjungi Siam Cannabis Land untuk melihat dengan lebih dekat kaedah penanaman di dalam dan luar premis, rumah hijau serta bilik pengeringan.

Beliau dan delegasinya turut dijadual melawat Bumrungrad International Hospital, satu daripada hospital swasta terbesar di Asia Tenggara dan Institut Psikiatri Somdet Chaopraya.

Julai lalu, Encik Khairy berkata satu kerangka kerja berhubung pendaftaran produk cannabidiol (CBD) tertentu bakal diumumkan.

Beliau juga dijadual menghadiri HLMHE APEC di Bangkok pada Khamis sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

“Komitmen Malaysia memenuhi jemputan lawatan rasmi bilateral kesihatan berhubung penggunaan ganja dan ketum bagi tujuan kesihatan serta menghadiri mesyuarat HLMHE APEC membuktikan Malaysia adalah konsisten dan komited dalam setiap kerjasama di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita