Menteri Keselamatan Israel Ben-Gvir ancam gulingkan pemerintah jika Hamas tidak dibubar sepenuhnya
Para penunjuk perasaan membawa bendera pada 4 Oktober 2025, sedang keluarga tebusan dan penyokong mereka mengadakan bantahan menjelang ulang tahun kedua perang Israel-Hamas. (Gambar: REUTERS/Ronen Zvulun)
This audio is generated by an AI tool.
"Jika pemerintah Hamas tidak dibubarkan, atau jika mereka hanya memberitahu kita bahawa ia dibubarkan sedangkan hakikatnya ia terus wujud di bawah samaran yang berbeza - (parti) Kuasa Yahudi akan menggulingkan pemerintah," kata Ben-Gvir dalam satu kenyataan menjelang mesyuarat kabinet Encik Netanyahu untuk meluluskan pelan gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan.
Encik Ben Gvir pada Khamis berkata beliau akan mengundi menentang gencatan senjata Gaza tajaan Amerika Syarikat dan perjanjian pembebasan tebusan dengan Hamas kerana ia mencadangkan pembebasan ratusan tahanan Palestin.
"Hati kita semua dipenuhi dengan rasa gembira... pada hakikat bahawa semua tebusan dijangka akan kembali... Sekalipun demikian, di samping kegembiraan ini, adalah dilarang sama sekali untuk mengabaikan persoalan mengenai akibat yang perlu ditanggung: pembebasan ribuan pengganas, termasuk 250 pembunuh yang dijangka akan dibebaskan dari penjara. Ini adalah sesuatu yang terlalu berat untuk ditanggung," tulis Ben Gvir di X.
"Saya tidak boleh mengundi menyokong perjanjian yang membebaskan pengganas pembunuh itu, dan kami akan menentangnya dalam pemerintah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semasa kabinet Israel sedang mengundi mengenai perjanjian itu.
Israel dan kumpulan Hamas menandatangani perjanjian pada Khamis untuk gencatan senjata dan membebaskan tebusan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin, fasa pertama inisiatif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan perang dua tahun itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.